Seorang imam dan juga peneroka Felda, Tengku Badri Tengku Jaafar, 60, meninggal dunia secara mengejut selepas rebah ketika mengimamkan solat Jumaat di Masjid Ar Rahmat, Felda Lembah Klau, di sini semalam.
Memetik laporan Sinar Harian, dalam kejadian kira-kira 1.50 tengah hari itu, arwah rebah ketika memimpin lebih 300 jemaah dalam rakaat kedua solat dipercayai akibat serangan jantung.
Adik mangsa, Tengku Maznan, berkata arwah memang mempunyai sejarah penyakit lemah jantung, namun tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara ketika kali terakhir mereka bertemu.
Kamera litar tertutup di masjid turut merakam detik pilu itu apabila Allahyarham rebah ketika ingin sujud selepas bangkit dari rukuk.
Penghulu Mukim Gali 2, Mohd Azmil Harun, menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan yang besar, namun dalam keadaan yang amat dicemburui.
“Arwah pergi ketika sedang memimpin solat Jumaat, dalam keadaan suci dan penuh tawaduk di rumah Allah. Ia satu pengakhiran yang sangat indah”
Allahyarham disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan dari Klinik Kesihatan Lembah Klau yang turut berada dalam jemaah, dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Lembah Klau selepas solat Isyak.
Baca: Pesara Tentera Meninggal Dunia Ketika Sedang Tunaikan Solat Sunat Dhuha Di Masjid