Sultan Nazrin

Suasana meriah sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Perak pagi ini bertukar kecoh apabila seorang wanita tiba-tiba berlari ke arah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika perarakan sedang berlangsung.

Insiden mengejutkan itu berlaku di hadapan ratusan hadirin yang hadir bagi meraikan sambutan penuh bersejarah tersebut.

Menurut laporan NST, wanita berusia 41 tahun itu kini ditahan pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, siasatan awal mendapati wanita berkenaan mempunyai rekod kesalahan berkaitan dadah serta sejarah menerima rawatan psikiatri.

“Wanita tersebut masuk dari sisi pentas dan menghampiri Sultan Nazrin sebelum berjaya ditahan oleh anggota keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Artikel berkaitan: Merdeka 68 Tahun: Sejarah Terbentuknya Parlimen Malaysia, Simbol Demokrasi Negara

Artikel berkaitan: Raikan Kemerdekaan Dengan Mee Hiris China Muslim, Lambang Kepelbagaian Budaya Malaysia

Beliau berkata, hasil ujian air kencing ke atas wanita itu didapati negatif daripada sebarang pengaruh dadah.

Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 325 dan 511 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah serta cubaan melakukan kesalahan.

“Jika sabit kesalahan, wanita berkenaan boleh berdepan hukuman penjara dan denda.

“Kami menasihatkan orang ramai supaya menghormati majlis rasmi dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mengganggu ketenteraman serta keselamatan,” kata Noor Hisam.

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.