Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sekali lagi berdepan tindakan disiplin daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) apabila dikenakan denda keseluruhan AS$12,500 (bersamaan kira-kira RM51,000) susulan beberapa pelanggaran peraturan ketika perlawanan kelayakan Piala Asia menentang Nepal di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 18 November lalu.
Dalam keputusan yang diumumkan oleh AFC, Jawatankuasa Tatatertib dan Etika badan itu mendapati FAM gagal memastikan perlawanan dimulakan mengikut jadual yang ditetapkan. Separuh masa pertama bermula lewat satu minit 20 saat, manakala sepak mula separuh masa kedua tertangguh selama satu minit 30 saat.

Kelewatan tersebut menyebabkan FAM didenda AS$2,500 (bersamaan kira-kira RM10,192) selepas didapati melanggar Artikel 2.2 Manual Operasi Pertandingan AFC, yang mewajibkan pematuhan ketat terhadap pengurusan masa perlawanan.
Selain itu, FAM turut dikenakan hukuman tambahan kerana gagal memastikan pemain kebangsaan, Faisal Abdul Halim, menghadiri sidang media selepas perlawanan walaupun beliau dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan. Kesalahan ini membawa kepada denda sebanyak RM40,770 kerana melanggar Artikel 4.3.8 yang dibaca bersama Artikel 31.3 Peraturan Pertandingan Piala Asia AFC Arab Saudi 2027.

Dalam perkembangan sama, Faisal sendiri turut dikenakan denda dengan jumlah yang sama selepas didapati tidak mematuhi arahan menghadiri sidang media. AFC menegaskan semua bayaran denda perlu dijelaskan dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan dikeluarkan, selaras dengan peruntukan di bawah Kod Tatatertib dan Etika badan induk tersebut.
Sumber: Kosmo!

4 hours ago
2






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















