Sebuah video yang dimuat naik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Instagram miliknya yang memaparkan imbauan nostalgia bersama Perdana Menteri Kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menarik perhatian netizen.
Video berdurasi hampir satu minit itu didedikasikan buat Allahyarham yang memaparkan gambar kedua-dua tokoh tersebut dengan berlatarkan lagu ‘Pergi’ nyanyian Aizat Amdan telah menyentuh hati ramai.
Sosok Pak Lah pasti meninggalkan bekas yang mendalam kepada rakyat dan negara.
“Berehatlah, Pak Lah. Malaysia ternyata terhutang budi atas jasa sang negarawan yang membumi,” tulis kapsyen di posting tersebut.
Artikel berkaitan: Jenazah Tun Abdullah Selamat Disemadikan Di Makam Pahlawan
Artikel berkaitan: Mengenang ‘Bapa Pembangunan Modal Insan’, Ini 6 Legasi Tun Abdullah Yang Dinikmati Hingga Sekarang
“Kami sekeluarga amat tersentuh”
Nukilan Perdana Menteri itu bukan sahaja menarik perhatian netizen, malah menantu kepada Tun Abdullah yang juga bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin meluahkan rasa terharunya dengan beberapa hantaran yang dimuat naik PM.
Terima kasih, sir di atas beberapa nukilan ikhlas yang dikarya mengingati sahabat lama.
“Kami sekeluarga amat tersentuh dengan kemuliaan kata Dato’ Seri terhadap ayahanda Pak Lah. Penghargaan jua kepada Dato’ Seri dan kerajaan kerana memberi penghormatan kepada Pak Lah dengan mengizinkan satu istiadat pengkebumian yang teristimewa dan kebenaran untuk jenazahnya disemadikan di makam pahlawan bersama negarawan-negarawan yang lain.
“Saya akan selamanya menghargai ini, sir,” tulis Khairy di ruang komen.
Terdahulu, PM juga ada memuat naik tulisan khas yang menarik perhatian ramai berkenaan Allahyarham yang disifatkan sebagai seorang yang menenangkan dan insan berjiwa besar yang menerapkan naratif baru dalam politik kekuasaan di Malaysia.
Beliau memimpin dengan wajah yang tidak marah, tangan yang tidak menggenggam kuasa, dan suara yang tidak meninggi meski diasak bertubi-tubi.
“Saya masih ingat sewaktu saya sendiri bergelut dalam episod hidup yang gelap dan derita, beliau tidak pernah menambah luka dengan kata-kata nista. Itulah peribadi Pak Lah yang sentiasa memilih damai meski mudah untuk membalas,” tulis Anwar.
Semalam, jenazah Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi telah selamat disemadikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan di Masjid Negara pada kira-kira 2.30 petang semalam.
Al Fatihah buat pemimpin hebat ini.
Sumber: Instagram, Astro AWANI