“Kesakitan ini takkan hilang” – Ibu Remaja M*ut Dit*kam Di Bandar Utama Hampa Lepas Terima Keputusan Mahkamah

5 hours ago 5

Ibu kepada remaja yang maut ditikam dalam kejadian di Bandar Utama berikrar untuk terus menuntut keadilan bagi anak perempuannya susulan keputusan mahkamah hari ini.

Dalam satu hantaran di Facebook, Wong Lee Ping meluahkan rasa sedih atas keputusan itu dan berikrar akan terus berusaha mendapatkan keadilan untuk anaknya, Yap Shing Xuen, 16.

Menerusi satu lagi hantaran yang panjang, Lee Ping mengenang kembali kenangan bersama anak perempuannya itu, yang disifatkannya sebagai seorang anak yang berdisiplin, prihatin, dan rajin.

Artikel berkaitan: Kes T*kam Bandar Utama: Pakar Patologi Dedah Terdapat 180 Kesan T*kaman Pada Badan Mangsa

Artikel berkaitan: Suspek Kes B*nuh Bandar Utama Alami Pelbagai Ilusi, 5 Tahun Tak Dapatkan Rawatan

Ibu Tikam

“Dia baru sahaja memulakan hidupnya. Dia masih mempunyai banyak impian, banyak perkara yang mahu dilakukan, banyak tempat yang belum pernah dilawati dan begitu banyak masa depan yang tidak sempat dirasainya,” katanya.

Menerusi laporan Harian Metro, Lee Ping berkata, keprihatinan anaknya itu termasuklah sentiasa mengingati hari lahir dan Hari Ibu. Mendiang sering mengumpul wang saku serta angpau Tahun Baru Cina semata-mata untuk membeli hadiah, selain menyediakan kek secara sembunyi-sembunyi buat ibunya.

Bagi Lee Ping, detik-detik biasa seperti itulah yang kini menjadi antara kenangan yang paling berharga buat dirinya.

“Apa yang paling sukar untuk dilepaskan oleh seorang ibu bukannya hadiah mahal yang pernah diberikan oleh anaknya. Tetapi detik biasa yang pernah kita anggap remeh, namun tidak akan berlaku lagi,” luahnya lagi.

Mengenang kembali kehidupannya selepas pemergian Shing Xuen, Lee Ping berkata dia menghabiskan masa sepanjang tahun lalu dengan terus bekerja dan menjalani kehidupan harian. Walau bagaimanapun, dia tetap merasakan sebahagian penting daripada hidupnya telah hilang selamanya.

“Ada kesakitan yang tidak akan hilang mengikut peredaran masa. Kita cuma belajar, sedikit demi sedikit, untuk terus hidup sambil membawa kesakitan itu bersama kita,” tulisnya.

Susulan keputusan mahkamah hari ini, Lee Ping bertegas bahawa dia tidak akan berhenti daripada menuntut keadilan buat anaknya.

“Kamu tidak akan pernah hilang dari hidup ibu. Mulai hari itu, ibu hanya mampu menyayangi kamu dengan cara yang berbeza. Anakku yang tersayang, ibu rindu kamu,” kata Lee Ping.

Dalam kejadian 14 Oktober tahun lalu, suspek yang merupakan seorang remaja lelaki berusia 15 tahun telah dituduh membunuh Shing Xuen.

Walau bagaimanapun, dalam prosiding hari ini, suspek dibebaskan daripada pertuduhan berkenaan selepas Mahkamah Tinggi mendapati beliau tidak siuman semasa kejadian berlaku.

Hakim Datuk Adlin Abdul Majid memerintahkan suspek ditahan dan dirawat di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak mengikut perkenan Sultan Selangor.

Sumber: Harian Metro

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |