“Scammer makin licik” – Lebih 800 Penduduk FELDA Dididik Untuk Kenal Pasti Ancaman Dalam Talian

6 hours ago 14

Internet sekarang dah jadi sebahagian daripada kehidupan seharian kita. Nak bayar bil, beli barang, berhubung dengan keluarga, urus perbankan malah nak mohon pelbagai perkhidmatan pun semuanya boleh dibuat secara dalam talian.

Tapi semakin banyak urusan kita berpindah ke dunia digital, semakin banyak juga ruang yang boleh diambil kesempatan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Kalau dulu mesej scam mungkin senang nak detect sebab ayat pelik atau tawaran yang terang-terang nampak mencurigakan, sekarang taktik mereka dah semakin licik. Ada yang menyamar sebagai pihak bank, agensi kerajaan, pihak berkuasa malah kenalan atau ahli keluarga sendiri.

Sebab itu, tahu menggunakan Internet sahaja sebenarnya dah tak cukup. Kita juga kena tahu macam mana nak melindungi diri bila berada di dalamnya.

Lebih 800 sertai Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat di Kemaman

Whatsapp Image 2026 09 07 At 17.44.17 1

Kesedaran mengenai perkara ini adalah antara program yang diketengahkan menerusi Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat Daerah Kemaman 2026 yang berlangsung di FELDA Neram 2, Kemaman baru-baru ini.

Program yang diadakan pada 5 September lalu itu menghimpunkan lebih 800 peserta daripada komuniti FELDA Neram 2 dan kawasan sekitar, selain melibatkan lapan agensi dalam usaha memperluaskan pendidikan mengenai keselamatan digital kepada masyarakat.

Apa yang menarik, pendekatan yang digunakan bukan sekadar meminta orang ramai duduk dan dengar tentang bahaya Internet.

Menerusi Zon Keselamatan Internet, peserta didedahkan kepada situasi dan risiko yang mungkin mereka hadapi ketika berada dalam talian, termasuk taktik penipuan. Simulasi dan aktiviti interaktif turut digunakan bagi membantu mereka memahami apa yang perlu dilakukan untuk melindungi diri, keluarga, data peribadi serta akaun digital.

Kita mungkin pernah dengar tentang scam, tetapi bila ia berlaku dalam situasi sebenar, lebih-lebih lagi apabila scammer mewujudkan rasa panik dan mendesak kita bertindak dengan segera, lain pula ceritanya.

Scammer bukan sekadar guna teknologi, mereka ‘main’ dengan emosi mangsa

Whatsapp Image 2026 09 07 At 17.44.16

Antara contoh yang boleh dijadikan pengajaran ialah kes seorang peneroka FELDA berusia 66 tahun di Pekan, Pahang yang mengalami kerugian lebih RM216,000 selepas diperdaya sindiket yang menyamar sebagai pegawai polis.

Mangsa ditakutkan dengan dakwaan kononnya dia terlibat dalam kegiatan jenayah sehingga sanggup menggunakan wang simpanan dan hasil jualan barang kemas untuk memenuhi arahan scammer.

Kes sebegini menunjukkan satu perkara yang kita kadang-kadang terlepas pandang apabila bercakap mengenai scam.

Scammer bukan hanya bergantung kepada kecanggihan teknologi. Mereka juga tahu bagaimana nak mengeksploitasi emosi seperti rasa takut, panik dan kepercayaan untuk membuatkan seseorang bertindak tanpa sempat berfikir panjang.

Malah, apabila nombor telefon atau akaun seseorang berjaya diambil alih, ia juga boleh digunakan untuk memperdaya ahli keluarga serta kenalan mangsa. Sebab itu kita tak boleh terus percaya hanya kerana mesej tersebut datang daripada nombor atau akaun seseorang yang kita kenal.

Nampak macam perkara asas, tapi dalam situasi panik, perkara asas inilah yang mudah kita terlupa.

Jadi kalau korang menerima panggilan atau mesej mencurigakan, jangan terus ikut arahan yang diberikan. Buat semakan terlebih dahulu, jangan sesekali berkongsi kata laluan atau maklumat perbankan dan elakkan membuat sebarang transaksi sekiranya masih ada keraguan.

Keselamatan Internet bukan isu warga emas sahaja

Whatsapp Image 2026 09 07 At 17.44.15

Satu lagi perkara yang menarik perhatian ialah pendidikan keselamatan digital ini bukan hanya tertumpu kepada golongan yang dianggap lebih mudah menjadi mangsa scam.

Kanak-kanak dan remaja juga berdepan risiko tersendiri apabila menggunakan Internet, daripada buli siber dan maklumat palsu sehinggalah kandungan berbahaya, eksploitasi serta penyalahgunaan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Di Terengganu sahaja, Kempen Internet Selamat telah dilaksanakan di 510 sekolah dan institusi pendidikan dengan pendedahan merangkumi penipuan dalam talian, buli siber, maklumat palsu, perlindungan data peribadi serta penggunaan Internet secara selamat dan beretika.

Dalam masa sama, masyarakat khususnya komuniti FELDA turut boleh memanfaatkan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) sebagai salah satu tempat mendapatkan bimbingan mengenai penggunaan teknologi dan keselamatan digital.

Terdapat 72 NADI yang beroperasi tujuh hari seminggu di Terengganu, termasuk NADI Cherol yang terletak kira-kira 13 kilometer dari FELDA Neram 2.

Bukan sekadar tahu guna Internet, kena tahu lindungi diri juga

Whatsapp Image 2026 09 07 At 17.44.18

Setakat suku kedua 2026, sebanyak 967 program Kempen Internet Selamat telah dilaksanakan di negeri-negeri Wilayah Timur dengan jangkauan seramai 219,290 peserta.

Angka ini menunjukkan betapa pentingnya pendidikan keselamatan digital kerana tak kira muda atau tua, sesiapa sahaja boleh menjadi sasaran.

Kita mungkin tak mampu menghalang scammer daripada mencuba, tapi kita boleh kurangkan peluang mereka untuk berjaya. Semak sebelum percaya, lindungi maklumat peribadi dan kongsikan ilmu tentang scam dengan keluarga serta orang sekeliling.

Dalam dunia digital hari ini, tahu guna Internet sahaja tak cukup, kita juga kena tahu cara melindungi diri.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |