Kes kematian seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dari Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD) di sebuah kem di Miri, Sarawak, Prebet Muhammad Muqriz Aseri, 21, meninggalkan kesan mendalam kepada keluarganya.
Ibu Allahyarham, Nor Azlina Zambri, 45, menyifatkan anak keduanya itu seorang yang amat meminati bidang ketenteraan. Kongsinya, Allahyarham berjaya mencapai cita-citanya menjadi tentera pada Disember 2023 selepas dua kali percubaan.
Artikel berkaitan: “Hentakan kuat di bahagian dada, jantung rosak” – TDM Sahkan Anggota Maut Akibat Kekerasan
Pernah mengadu tidak tahan
Menurut Nor Azlina, anaknya itu tidak pernah bercerita mengenai sebarang kejadian yang dilalui sepanjang berkhidmat dalam tentera termasuk di 20 RAMD.
Katanya, sepanjang hampir 10 bulan Allahyarham berkhidmat di 20 RAMD, Kem Sri Miri, anaknya tidak pernah menceritakan sebarang masalah yang dihadapinya.
“Angah (Muhammad Muqriz) sudah bertugas selama 10 bulan di kem berkenaan dan tidak pernah bercerita apa-apa. Cuma seminggu selepas ditempatkan di Sarawak, dia ada mengadu tidak tahan dan mahu berhenti secara baik.
“Kami memberi sokongan dan kata-kata semangat kepadanya supaya dia terus kuat. Tidak lama selepas itu arwah beritahu semua sudah okay,” ujarnya.
Nor Azlina turut berkongsi kenangan terakhir bersama Allahyarham iaitu ketika anaknya itu pulang bercuti selama 10 hari dan berkesempatan berpuasa bersama keluarga.
Walaupun sedih dengan pemergian anaknya, Nor Azlina menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta berharap kejadian seumpama ini tidak akan berulang kepada mana-mana anggota lain.
Sementara itu, bapa Allahyarham, Aseri Ismail, 49, berkata walaupun kehilangan anak tersayang, beliau tidak pernah menyesal membenarkan Muhammad Muqriz menyertai ATM malah berbangga kerana anaknya berpeluang berkhidmat untuk negara.
Semalam, polis memaklumkan dua anggota 20 RAMD telah ditahan bagi membantu siasatan kes kematian Prebet Muhammad Muqriz Aseri.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, kedua-dua prebet berusia 22 dan 24 tahun itu ditahan di Kem Sri Miri pada jam 4.30 petang.
Katanya, polis sudah mendapat perintah mahkamah untuk menahan reman mereka selama tujuh hari sehingga 2 April ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki membunuh.
Sumber: Berita Harian