“Kalau hang m*ti pun biar ja la” — Roblox Punya Pasal, Budak Sekolah Rendah Paksa Kawan Buat ‘Misi’ Bahaya

1 week ago 21

Seorang lelaki berkongsi pengalaman menakutkan yang dialami anak saudaranya di sekolah apabila kanak-kanak itu diugut dan dipaksa menyertai “misi” pelik yang menyerupai permainan dalam talian Roblox.

Menurut Khairul Ahmad Fitri Suhaimi dalam satu hantaran di Facebook, anak saudaranya yang berusia tujuh tahun telah menerima ugutan daripada seorang rakan sekelas perempuan yang digelar sebagai “kapla”.

Murid berkenaan dikatakan sering memberi beberapa “misi” kepada rakan-rakannya, kononnya diinspirasikan daripada permainan Roblox yang popular dalam kalangan kanak-kanak.

Kejadian bermula apabila “kapla” memberi misi pertama kepada anak saudaranya, iaitu untuk mencium seorang pelajar lelaki. Namun, anak saudaranya menolak arahan itu.

Disebabkan enggan melaksanakan misi tersebut, anak saudaranya kemudian diberikan misi kedua yang jauh lebih berbahaya iaitu diarahkan supaya terjun dari tingkat satu bangunan sekolah.

Anak saudaranya sekali lagi menolak dan membalas, “Kenapa pula aku kena terjun, hang la terjun.”

Artikel berkaitan: Roblox Kerjasama Dengan Kerajaan Malaysia Untuk Tingkatkan Keselamatan – Hannah Yeoh

Artikel berkaitan: Perketat Penggunaan, Kerajaan Akan Guna Pengesahan Umur Untuk Aplikasi OMi, Permainan Roblox

screen of phonePermainan Roblox yang menjadi kegilaan kanak-kanak sekarang.

Tindakannya itu menyebabkan “kapla” berang dan mengarahkan seorang lagi pelajar lelaki, yang juga rakan baik anak saudaranya, untuk mendukung dan membalingnya keluar dari tingkap.

Mujurlah pelajar lelaki itu turut menolak arahan tersebut.

Namun kata-kata yang keluar daripada mulut “kapla” selepas itu benar-benar mengejutkan.

“Aku bukan sayang hang pun. Kalau hang m*ti pun biar ja la,” katanya kepada anak saudaranya.

Selepas kejadian itu, abang ipar Khairul segera menghubungi guru kelas untuk memaklumkan tentang insiden berkenaan, manakala kakaknya pula menghubungi ibu bapa pelajar lelaki terbabit bagi mengesahkan cerita tersebut.

Hasil perbincangan mereka mendapati bahawa ini bukan kali pertama “kapla” memberikan misi pelik kepada rakan sekelas.

Antara misi lain termasuk memilih antara pen atau gunting, kemudian mengetuk tangan dengan barang yang dipilih, serta mencucuk buku dengan gunting sehingga koyak.

Semua misi ini dikatakan menyerupai kandungan dalam permainan Roblox.

Bimbang dengan keselamatan anaknya, kakak Khairul mengambil keputusan untuk menangguhkan kehadiran anaknya ke sekolah buat sementara waktu.

Beliau bersama ibu bapa pelajar lain turut berjumpa dengan guru besar bagi membincangkan perkara itu.

Pihak sekolah kemudian memaklumkan bahawa mereka telah menasihati pelajar terbabit serta memaklumkan perkara itu kepada ibu bapanya.

Namun, bagi keluarga Khairul, penjelasan tersebut masih belum mampu menenangkan hati mereka.

Menurut Khairul, kakaknya kini mengalami serangan keresahan (anxiety) dan vertigo akibat trauma mendengar sendiri pengakuan anaknya, manakala anak saudaranya sudah tiga hari tidak ke sekolah kerana takut.

Beliau menegaskan, tujuan perkongsian itu bukan untuk menjatuhkan mana-mana pihak, sebaliknya untuk mendapatkan pandangan dan nasihat daripada orang ramai tentang tindakan yang wajar diambil.

“Sebagai ibu bapa, saya cuba letakkan diri saya dalam situasi kakak saya. Serius, memang serabut dan menakutkan. Hari ini anak orang lain, esok mungkin anak kita pula,” tulisnya.

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |