Jerebu yang melanda negara sejak minggu lalu nampaknya masih belum menunjukkan tanda-tanda untuk reda, malah keadaan dilaporkan semakin memburuk di beberapa kawasan.
Asap dan udara berkabus mula menyelubungi langit, menyebabkan jarak penglihatan terjejas dan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) terus meningkat sehingga ada beberapa kawasan menghampiri paras 200 (kualiti udara tidak sihat).
Pakar Kualiti Udara Universiti Sultan Zainal Abidin, Prof. Madya Dr Azman Azid berkata, keadaan ini dijangka berlarutan hingga Jumaat (esok).
Jelasnya, situasi yang sedang berlaku di Semenanjung disebabkan pola pergerakan udara membawa masuk jerebu dari Sumatera, Indonesia hingga ke Pantai Timur.
“Keadaan jerebu dijangka berterusan sehingga Jumaat ini (esok) berikutan kehadiran jisim udara tercemar,” katanya.

Artikel berkaitan: Jerebu: Hampir Semua Kawasan Pantai Barat & Selatan Semenanjung Catat Bacaan IPU Tidak Sihat
Artikel berkaitan: “Indonesia teruk jerebu kenapa nama Malaysia keluar” – Malaysia Tersenarai Tempat Pertama IPU Tertinggi Di Dunia?!
Jerebu rentas sempadan jadi punca
Menurut Azman, situasi di Pantai Timur memburuk susulan pergerakan angin yang lemah di sekitar Laut China Selatan.
“Peningkatan bacaan IPU kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia termasuk Terengganu ketika ini banyak disebabkan jerebu rentas sempadan.
“Bagaimanapun, faktor tempatan seperti aktiviti perindustrian turut berpotensi menyumbang kepada peningkatan kepekatan partikel halus PM2.5,” katanya.
Namun begitu, bacaan IPU masih bergantung kepada keadaan semasa cuaca dan angin. Jika angin bertiup lebih kencang atau hujan turun, kepekatan pencemar di udara boleh berkurangan.
Sebaliknya, jika jisim udara tercemar terus bergerak ke kwasan berkenaan ketika tiupan angin perlahan, bacaan IPU berpotensi meningkat dan menghampiri paras 200.
“Udara sentiasa bergerak dan tidak berada di satu kawasan sahaja. Setiap kali arah angin berubah, kawasan yang menerima kesan pencemar juga boleh beralih,” katanya.
Dalam perkembangan sama, orang ramai terutama golongan kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar pada masa ini.
Ini disebabkan partikel PM2.5 yang sangat halus boleh memasuki sistem pernafasan dan meningkatkan risiko masalah kesihatan berkaitan respiratori sekiranya terdedah dalam tempoh tertentu.
Sumber: Kosmo!

4 hours ago
7






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















