Jeffrey Cheah Dinobat Sebagai Penerima Anugerah Filantropi Forbes Asia Buat Kali Kelima

1 day ago 6

Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dato’ Seri Sir Dr. Jeffrey Cheah KBE AO, yang juga merupakan pengasas dan pemegang amanah Jeffrey Cheah Foundation, telah disenaraikan dalam Forbes Asia Heroes of Philanthropybuat kali kelima, sekali gus menjadikannya individu pertama di Asia yang mencapai pengiktirafan tersebut sebanyak lima kali berasingan.

Pengiktirafan oleh penerbitan perniagaan berpangkalan di Amerika Syarikat itu adalah sebagai penghargaan terhadap komitmen sepanjang hayat Cheah dalam usaha membangunkan negara melalui pendidikan berkualiti dan kerja-kerja filantropi.

Sebelum ini, Cheah telah dinobatkan sebagai Hero of Philanthropy pada tahun 2021, 2019, 2015 dan 2009.

Tan Sri Dato Seri Sir Dr. Jeffrey Cheah KBE AO 6

Cheah berkata, “Saya sentiasa percaya bahawa setiap insan mesti mempunyai tujuan yang lebih tinggi dalam hidup. Bagi saya, panggilan ini adalah komitmen untuk memberi kembali kepada masyarakat secara bermakna dan berimpak demi manfaat dan kesejahteraan generasi masa hadapan.”

“Saya juga percaya bahawa mereka yang telah berjaya dari segi kewangan mempunyai tanggungjawab untuk memajukan kecemerlangan pendidikan di negara ini, kerana pendidikan berkualiti merupakan asas kepada pembentukan hala tuju dan masa depan sesebuah bangsa serta masyarakat,” tambah beliau.

Tan Sri Dato Seri Sir Dr. Jeffrey Cheah KBE AO 9

Sehingga kini, Jeffrey Cheah Foundation telah menganugerahkan lebih RM967 juta dalam bentuk biasiswa dan geran kepada puluhan ribu pelajar, kebanyakannya daripada keluarga kurang berkemampuan, dan dijangka melepasi RM1 bilion menjelang 2026.

Pada November 2025, Cheah telah berikrar untuk menyumbang RM500 juta dalam tempoh lima tahun bagi menubuhkan salah satu dana endowmen pendidikan terbesar di Malaysia, bertujuan memacu kecemerlangan akademik, penyelidikan bertaraf dunia dan inovasi di Sunway University untuk jangka masa panjang.

Pendekatan filantropi yang berteraskan misi dan berstruktur ini dimodelkan berdasarkan universiti tertua dan paling berprestij di dunia seperti Harvard University dan University of Cambridge.

Pendekatan ini turut diterapkan dalam sumbangan Cheah kepada sekolah-sekolah awam di seluruh negara, termasuk lebih RM57 juta bagi menyokong pembinaan, pembangunan dan peluasan 10 buah sekolah awam di Malaysia.

Selain itu, Jeffrey Cheah Foundation turut mewakafkan RM5 juta kepada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi menubuhkan Kerusi Profesor Terbilang Tan Sri Sir Jeffrey Cheah di Fakulti Perubatan.

Tan Sri Dato Seri Sir Dr. Jeffrey Cheah KBE AO 5

Jawatan profesor endowmen ini akan melantik seorang sarjana terkemuka bagi memajukan penyelidikan dalam bidang perubatan dan kesihatan awam di UKM, yang turut bekerjasama dengan Jeffrey Cheah Sunway Medical School di Sunway University untuk melatih doktor dan pakar perubatan masa hadapan.

Mengguna pakai model perusahaan sosial, Jeffrey Cheah Foundation merupakan yayasan terbesar seumpamanya dalam memajukan pendidikan di Malaysia. Yayasan ini memiliki dan mentadbir, di bawah struktur bukan berasaskan keuntungan, semua entiti di bawah Sunway Education Group termasuk Sunway University, Sunway Colleges dan Sunway International Schools.

Sejajar dengan komitmen penuh Jeffrey Cheah Foundation terhadap 17 Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-SDGs), yayasan ini turut berikrar untuk menyumbang tambahan AS$5 juta, selain AS$20 juta yang telah disumbangkan sebelum ini, kepada United Nations Sustainable Development Solutions Network (UN-SDSN) bagi memajukan agenda kelestarian di peringkat global.

Diterajui oleh ahli ekonomi terkemuka Profesor Jeffrey Sachs, UN-SDSN telah menubuhkan ibu pejabat Asia di Sunway University.

UN-SDSN Asia merupakan salah satu daripada hanya tiga pusat global yang memfokuskan penyelesaian kelestarian di peringkat benua. Pejabat di New York menyelia rantau Amerika, manakala pejabat di Paris menyelia Eropah dan Afrika.

Tan Sri Dato Seri Sir Dr. Jeffrey Cheah KBE AO 3

Ibu pejabat Asia UN-SDSN bekerjasama rapat dengan Jeffrey Sachs Center on Sustainable Development dan Sunway Centre for Planetary Health, yang kedua-duanya beroperasi di Sunway University.

Peningkatan pesat kedudukan Sunway University dalam penarafan global mencerminkan komitmen terhadap agenda kelestarian ini. Pada tahun 2025, institusi tersebut melonjak ke kedudukan ke-81 dalam Times Higher Education University Impact Rankings, berbanding kelompok 201–300 sebelum ini, dengan kelestarian sebagai teras utama.

Forbes Asia’s 2025 Heroes of Philanthropy telah diterbitkan dalam edisi Disember 2025 Forbes Asia.

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |