Kecoh lagi isu berkaitan bendera Malaysia apabila tular ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap tanpa bulan sabit pada muka hadapan sebuah akhbar bahasa Cina pada hari Selasa (15 April).
Susulan ilustrasi itu mencetuskan ketidakpuasan hati pengguna media sosial, Sin Chew Daily tampil memohon maaf atas kesilapan yang dilakukan.
Dalam satu kenyataan yang dikongsikan, agensi media berkenaan menjelaskan bulan sabit tidak kelihatan dalam ilustrasi tersebut disebabkan kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.
Artikel berkaitan: Tular Sekumpulan Individu Berarak Kibar Bendera China Di Teluk Intan, Penganjur Mohon Maaf
Artikel berkaitan: Bendera Malaysia Terbalik Pada Jersi Lee Zii Jia Ialah Kecuaian Kritikal – Fahmi Fadzil
“Kami berasa amat kesal dan kecewa dengan kekhilafan tersebut. Bagi pihak semua kakitangan Sin Chew Daily, kami menyusun 10 jari memohon jutaan maaf kepada semua rakyat Malaysia.
“Pindaan segera sudah dilakukan terhadap ilustrasi versi digital manakala ilustrasi dipinda dan disempurnakan akan diterbitkan semula pada Rabu dalam versi cetakan akhbar kami,” katanya.
Kesilapan yang memalukan – Pakar bahasa dan perpaduan
Sementara itu, pakar bahasa dan perpaduan, Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong menganggap kesalahan begitu disifatkan amat memalukan dan tidak sepatutnya berlaku.
Apatah lagi, kata beliau, perkara itu melibatkan sebuah syarikat media berbahasa Cina yang besar dengan pembaca yang ramai serta edaran akhbar yang tinggi.
Tambahnya, mustahil boleh berlaku kesalahan pada bendera Jalur Gemilang kerana sesebuah akhbar pastinya ada standard prosedur operasi (SOP) yang memerlukan beberapa peringkat tapisan sebelum ia diterbitkan.
Justeru, beliau berpendapat hukuman perlu dikenakan kepada pihak bertanggungjawab supaya menjadi iktibar dan pengajaran pada masa hadapan.
Sumber: Sinar Harian, Malaysia Gazette