2polis

Mayat seorang wanita yang ditemukan ditanam di dalam sebuah beg di belakang rumah kosong di Kampung Batu 4 Pedas, Rembau, Negeri Sembilan masih belum dapat dikenal pasti berikutan keadaan jasad yang telah mereput teruk.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, SAC Muhammad Idzam Jaafar berkata mangsa dipercayai telah meninggal dunia lebih tiga hari sebelum ditemui, sekali gus menyukarkan usaha pengecaman identiti secara fizikal.

Beliau memaklumkan sampel DNA telah diambil daripada individu yang disyaki ahli keluarga mangsa bagi tujuan perbandingan, namun keputusan ujian berkenaan dijangka mengambil masa. Sementara itu, bedah siasat yang dijalankan di Hospital Rembau tidak dapat mengenal pasti punca kematian kerana tahap pereputan jasad, menyebabkan kes diklasifikasikan sebagai tidak dapat ditentukan buat masa ini.

Dalam perkembangan terbaharu siasatan, polis menahan seorang lelaki berusia 51 tahun di Genting Sempah, Pahang petang semalam. Tangkapan itu susulan penahanan seorang lagi suspek di Melaka sehari sebelumnya, menjadikan dua individu kini berada dalam tahanan polis.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan pihak polis masih meneruskan siasatan bagi merungkai keseluruhan kejadian termasuk mengenal pasti identiti mangsa serta motif kejadian.

Sumber: Astro Awani

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.