YouTuber terkenal Indonesia, Windah Basudara, kehilangan pendapatan antara RM2,600 hingga RM5,200 selepas video Upin Ipin Universe miliknya dikenakan empat penalti hak cipta oleh pembangun permainan.
Video tersebut, yang mendapat lebih 3.6 juta tontonan di YouTube, dilapor melanggar hak cipta muzik dalam game berkenaan. Akibatnya, saluran YouTube Windah disekat daripada menjana pendapatan melalui Google AdSense.
Windah meluahkan rasa kecewa kerana telah membeli dan mempromosi permainan itu secara besar-besaran, namun tetap dikenakan tindakan. Beliau juga sudah menghantar bantahan rasmi (dispute) kepada YouTube untuk mempertahankan haknya.
Ramai peminatnya tampil mempertahankan Windah dan membanjiri ruangan komen akaun TikTok pembangun game tersebut dengan mesej berbaur kemarahan. Tindakan pembangun dianggap tidak menghargai sokongan pencipta kandungan yang mempopularkan permainan itu.
Windah Basudara merupakan antara YouTuber permainan paling berpengaruh di Indonesia dengan lebih 17 juta pengikut. Insiden ini menimbulkan perdebatan mengenai hak cipta digital dan hubungan antara pembangun serta pencipta kandungan.
Sumber: The Vocket