Berbaki 2 hari sebelum menyambut Syawal, keluarga ini berdepan dengan detik paling sukar apabila ahli mereka iaitu pemandu Proton X50, Iklil Nuraudah Muhammad Redzaa, 23, yang maut selepas kenderaan dinaikinya terbabit nahas bersama 4 mangsa lain di Kilometer 58.1, Lebuhraya PLUS arah selatan, 11.30 malam tadi.
Ibu mangsa, Mimi Sabrina Yusuf, 47 menjelaskan yang dia mendapat panggilan mengenai berita mendukacitakan tetang anak kedua daripada 6 beradik itu kira-kira jam 5 pagi tadi.
Artikel berkaitan : “Of course ada” – Fattah Amin Dah Sediakan Duit Raya Untuk Fatima
Artikel berkaitan : Kes Treler Terbabas Di Kluang: Tayar Pecah Punca Kemalangan, Pemandu Ditahan
“Kehilangannya amat terasa lebih-lebih lagi dua hari nak sambut Aidilfitri. Dia pulang ke Johor kerana mahu mengambil kami sekeluarga beraya dengannya di Sepang (Selangor) rumah sewa yang diduduki bersama kakak sulungnya.”
“Dia meminta saya bersiap-siap dan rancang bertolak ke sana selepas Subuh. Jam 12 tengah malam saya tunggu-tunggu, dia tak tiba juga, senyap tiada khabar berita, risau juga takut apa apa berlaku.”
Jelas Mimi lagi, dia dimaklumkan mengenai berita kematian anaknya itu sedikit lambat daripada anak perempuan sulungnya menerusi telefon.
Tambahnya lagi, anaknya yang bekerja sebagai seorang pramugari di Batik Air itu tidak menunjukkan sebarang ‘petanda’ dan mereka sekeluarga merancang untuk menyambut hari kelahiran Allahyarham di rumah sewa yang jatuh pada kelmarin.
“Kami hanya hantar ucapan untuknya. Kehidupan saya memang terasa berubah 100 peratus kerana arwah adalah tunggak keluarga saya.”
“Dia selalu beri wang belanja kepada kami ibu bapanya RM1,000 sebulan dan banyak membantu perkara yang lain.”
Sementara itu, bapa kepada Allahyarham iaitu Muhamad Redzaa Abu Hashim, 47 menyifatkan ayahnya itu seorang yang manja dan bertanggungjawab.
“Selepas berhari raya di Sepang, kami rancang pulang ke Pasir Gudang, Johor Bahru untuk beraya bersama.”
“Ini kehilangan yang besar buat kami sekeluarga, lagipun berapa hari lagi nak Aidilfitri, kami tak jangka terima perkhabaran sedih ini.”
“Lagi-lagi pagi ketika azan dan takbir raya (berkumandang) pasti buat saya sedih.”
Allahyarham dijangka dikebumikan selepas solat Jumaat di Tanah Perkuburan Islam Felda Taib Andak, Kulai.
Untuk rekod, seramai 5 orang maut termasuk suami isteri dan anak perempuan mereka berusia dua tahun dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan termasuk treler di kilometer 58.1, Lebuhraya PLUS arah selatan, 11.30 malam tadi.
Sumber : Berita Harian