Kejadian di Sipitang, Sabah membabitkan seorang murid perempuan yang cedera di kepala dan tular di media sosial sejak pagi tadi bukan berpunca daripada kejadian buli atau pergaduhan seperti yang didakwa, sebaliknya disebabkan kemalangan ketika bermain bersama rakan di sekolah.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Berampah, Ag Ku Jainuddin Ag Wahab, berkata hasil siasatan awal mendapati kecederaan yang dialami murid berkenaan berlaku semasa dia bermain, bukan akibat dipukul.
Menurutnya, pihak sekolah mengambil tanggungjawab penuh terhadap insiden berkenaan dan bertindak pantas membawa murid terbabit ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
Artikel berkaitan: Lagi Kes Pelajar Sekolah Terlibat Dalam R*gol Beramai-ramai, Siap Sebarkan ‘Video’
Artikel berkaitan: Kes T*kam Pelajar Di Bandar Utama, Ini Kronologi Penuh Kejadian Tragis Tersebut
“Gambar yang tular di media sosial sebenarnya diambil semasa murid berkenaan dalam perjalanan ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ibu bapa kepada murid terbabit telah dimaklumkan mengenai kejadian itu, selain memberi jaminan bahawa pihak sekolah akan terus memberi perhatian terhadap keselamatan serta kebajikan semua pelajar.
“Kami juga akan mengambil langkah penambahbaikan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Pendidikan Negeri Sabah juga mengesahkan ia bukan berpunca daripada buli atau pergaduhan.
Terdahulu, tular di media sosial gambar seorang murid perempuan berpakaian seragam sekolah dengan kesan darah di kepala yang mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan warganet.
Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 11 pagi di sebuah sekolah rendah di daerah ini sebelum mangsa dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Sumber: Berita Harian, X