Selepas lebih empat tahun melalui tempoh sukar dan menjalani rawatan, penyanyi serta komposer terkenal, Yasin Sulaiman, akhirnya dibenarkan keluar dari Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk pulang ke pangkuan keluarga.
Berita gembira itu dikongsikan oleh sahabat baiknya yang juga bekas anggota kumpulan Brothers, Akbar Azmi, menerusi satu hantaran video di akaun Threads miliknya.
Menurut Akbar, Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 51, kini dalam perjalanan pulang selepas mendapat kebenaran untuk keluar dari hospital berkenaan.
Artikel berkaitan: Yasin Sulaiman Dibebas Dari Hukuman Penjara Seumur Hidup, Perlu Kembali Ke Hospital Bahagia
Artikel berkaitan: “Hari yang gelap & keputusan yang sangat pelik” – Yasin Sulaiman Dipenjara Seumur Hidup
“Alhamdulillah, akhirnya setelah lebih empat tahun, Yasin Sulaiman… sudah dibenarkan pulang dari hospital. Ya Allah, lama itu. Anak pun sudah besar.
Alhamdulillah, sepatutnya 30 tahun dan pernah disabitkan untuk duduk dalam penjara. Ini semua kuasa Allah SWT, Yasin dapat lepas hari ini,” katanya.
Dalam pada itu, Akbar turut memaklumkan bahawa beliau sempat menghubungi Yasin menerusi panggilan telefon untuk mengetahui perkembangan terkininya yang ketika itu berada dalam perjalanan di kawasan Tapah.
Beliau juga meminta orang ramai mendoakan urusan mereka dan menantikan kemaskini terkini mengenai pertemuan mereka nanti.
Bebas Daripada Hukuman Penjara Seumur Hidup
Untuk rekod, Yasin sebelum ini pernah berdepan hukuman penjara seumur hidup serta 16 sebatan selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati beliau bersalah atas tiga pertuduhan berkaitan dadah.
Walau bagaimanapun, pada 28 April tahun lalu, Mahkamah Rayuan telah mengetepikan hukuman penjara dan sebatan tersebut selepas membenarkan rayuan akhir Yasin. Panel tiga hakim membuat keputusan untuk melepas dan membebaskan beliau, namun memerintahkan Yasin ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk menjalani rawatan mengikut perkenan Sultan Selangor.
Keputusan kebenaran pulang ini menandakan Yasin kini bebas sepenuhnya daripada hukuman penjara dan sedia kembali berkumpul bersama keluarga tercinta.

4 hours ago
11






























:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















