Tak Mampu Jaga, Bapa Tunggal Terpaksa Serah 3 Anak Kecil Ke Rumah Anak Yatim

5 hours ago 5

Seorang bapa tunggal terpaksa membuat keputusan sukar dalam hidupnya apabila terpaksa menghantar tiga anak kecilnya ke sebuah rumah anak yatim di Perak.

Kisah sedih itu dikongsi oleh Pusat Jagaan Kebajikan Anak-Anak Yatim Jaz Teluk Intan yang menerima dengan terbuka tiga beradik berusia lima, tujuh dan sembilan tahun itu pada Isnin lalu.

Dalam satu rakaman video tular, lelaki yang dikenali sebagai Huang Guowei tidak dapat menahan sebak dan menangis ketika memberikan nasihat kepada ketiga-tiga anaknya sebelum meninggalkan mereka di pusat jagaan berkenaan.

Anaknya ada yang menangis, ada yang diam mendengar nasihat ayah mereka. Kelihatan Huang mengesat air mata berkali-kali sambil memeluk erat tiga anaknya semasa menitipkan pesanan sebelum mereka berpisah sementara.

565427520 17927289279108273 170823410754071472 n 565082133 17927289261108273 8147397134274775756 n

Artikel berkaitan: Ibu Luluh Hati Anak Kembar Dijaga Bekas Suami & Ibu Tiri Dibiar Tidur Di Kaki Lima, Kes Disiasat JKM & Polis

Artikel berkaitan: “Kenapa tak bawa sekali?” – Anak Ditinggal Di Luar Dobi, Lelaki Ini Pesan Supaya Ibu ‘Alert’

Difahamkan, sebelum ini anak-anak Huang dihantar ke sebuah pusat jagaan di Kuala Lumpur namun disebabkan tidak mampu menanggung yuran bulanan yang dikenakan, dia memindahkan mereka ke pusat jagaan di Teluk Intan yang tidak mengenakan sebarang bayaran.

Pengerusi Pusat Jagaan Kebajikan Anak-Anak Yatim Jaz, Sun Chin berkata, pusat jagaannya itu tidak menghalang untuk lelaki berusia 56 tahun itu bertemu atau mengambil anak-anaknya pada bila-bila masa.

Menurut laporan, Huang bekerja sebagai pemandu lori di Kuala Lumpur, menerima pendapatan sekitar RM2,6000 sebulan tidak cukup untuk menampung kos sara hidup dan keperluan harian anak-anaknya.

Atas desakan hidup dan mahu memastikan anak-anaknya mendapat kehidupan yang lebih baik dan terurus, Huang terpaksa menyerahkan insan tersayang ke rumah kebajikan.

Huang sebelum ini berkahwin dengan warga Vietnam pada 2016 dan dikurniakan tiga cahaya mata hasil perkahwinan tersebut.

Namun, rumah tangga mereka berakhir dengan perceraian pada 30 Mei 2024, dan mahkamah memutuskan hak penjagaan penuh diberikan kepadanya.

Selepas bercerai, bekas isterinya dilaporkan beberapa kali datang ke rumah dan mengganggu Huang, menyebabkan dia menghantar anak-anaknya ke rumah kebajikan sementara waktu bagi keselamatan mereka.

Pihak rumah kebajikan turut memaklumkan bahawa mereka akan memohon kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membolehkan ketiga-tiga kanak-kanak tersebut bersekolah di tadika dan sekolah rendah berhampiran.

Sumber: Sinar Harian, Mothership.sg

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |