Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek tampil memperjelas kenyataan yang diberikan oleh ketua pengarahnya berkenaan dengan pengakuan beliau bahawa banyak perkara negatif berkait sistem pendidikan negara ‘disimpan di bawah karpet’.
Semasa menjawab soalan yang diajukan olah Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee Chuan How di Dewan Rakyat hari ini, Fadhlina memberikan penjelasan ‘sebenar’ maksud dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, di Dewan Rakyat hari ini.
Artikel berkaitan : Cikgu Din Ditempatkan Sementara Di Sekolah Di Kelantan – Fadhlina Sidek
Artikel berkaitan : Dituduh Ada Pertalian & Bersubahat Dengan Pengetua Sekolah Zara Qairina, Fadhlina Lapor Polis
“Bagaimana beliau (menyimpulkan) ‘sapu bawah karpet’. Maksud itu sebenarnya penjelasan adalah beliau tak bermaksud kes-kes disembunyikan.”
Jelas Fadhlina, memang wujud insiden di sekolah yang diketahui atau dimaklumkan kepada pihak yang berkaitan.
Katanya, kes sebegini telah diadukan sama ada kepada guru, pentadbir sekolah, kaunselor, atau pegawai pendidikan di peringkat daerah dan negeri namun kes berkenaan dianggap kecil, tidak serius, atau bersifat sementara.
Fadhlina juga mengakui bahawa tanggapan sedemikian telah menyebabkan langkah campur tangan kerajaan sebelum ini mungkin terlalu ringan atau tidak menyeluruh.
“Itu yang sangat menggusarkan hati kami, kalau kes-kes seperti ini tidak diberikan perhatian dan kami tidak dapat melaksanakan siasatan dan intervensi menyeluruh.”
“Menyebabkan sebahagian kes berlarutan sehingga menimbulkan implikasi yang lebih besar.”
Tambahnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kini lebih memberi penekanan pelaksanaan pendekatan yang lebih tegas, sistematik dan berasaskan prosedur yang jelas untuk memastikan setiap insiden di sekolah dapat ditangani dengan kadar segera, profesional dan tanpa kompromi terhadap keselamatan serta kebajikan murid.
Sebelum ini, Mohd Azam ada mengingatkan semua pihak untuk tidak menyembunyikan sebarang insiden negatif yang melibatkan institusi pendidikan.
Jelasnya, dalam tempoh tiga bulan dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan, Azam menyatakan bahawa ada banyak insiden negatif seperti gangguan dan buli “disimpan di bawah karpet”.
Sumber : Malaysiakini