Sejak kebelakangan ni, semakin banyak kes jenayah dalam kalangan pelajar sekolah yang menghiasi tajuk berita.
Pada tahun 2024, sekitar 300 kes jenayah yang melibatkan pelajar sekolah rendah dan menengah telah dicatatkan di Malaysia. Kes-kes ini termasuklah kes pergaduhan, kecurian dan kerosakan harta benda. Lebih membimbangkan, baru-baru ini terdapat juga kes berat melibatkan pelajar sekolah menengah yang dah berani membuat jenayah seperti rogol dan bunuh.
Mesti ramai tertanya-tanya, apa yang sebenarnya akan terjadi kalau remaja bawah umur ni terlibat dalam kesalahan jenayah? Kalau korang nak tahu, baca penjelasan dekat bawah ni.
Artikel Berkaitan: Lagi Kes Pelajar Sekolah Terlibat Dalam R*gol Beramai-ramai, Siap Sebarkan ‘Video’ – Lobak Merah
Artikel Berkaitan: T*kam Pelajar: Nota Tulisan Tangan ‘I have won’, ‘This world is fake’ Ditemui Pada Suspek – Lobak Merah
Fahami maksud kanak-kanak
Walaupun kita sering menganggap pelajar sekolah dalam kategori sebagai remaja, namun dari segi undang undang Malaysia, mereka masih dikategorikan sebagai kanak-kanak.
Mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), mana-mana individu yang berumur bawah 18 tahun dianggap sebagai kanak-kanak. Ini bermakna walaupun seseorang itu sudah berada di Tingkatan Empat atau Tingkatan Lima, mereka tetap tertakluk di bawah perlindungan undang-undang kanak-kanak sekiranya terlibat dalam jenayah.
Akta 611 juga mentakrifkan kanak-kanak sebagai sesiapa yang berumur 18 tahun akan bertanggungjawab terhadap jenayah yang ditentukan oleh Seksyen 82 Kanun Keseksaan sekiranya terlibat dalam kes jenayah.
Tapi sebenarnya tidak semua undang-undang di Malaysia mentakrifkan individu yang berumur 18 dikira sebagai kanak-kanak. Contohnya, Akta Perkahwinan & Penceraian 1976 juga menganggap bawah 18 tahun adalah kanak-kanak, manakala Akta Pengangkatan 1952 pula menganggap bawah 21 tahun juga dikira kanak-kanak. Ada juga kes di mana akta tidak menjelaskan tentang umur kanak-kanak, jadi mahkamah yang perlu untuk tentukan sendiri mengikut kes.
Namun begitu, tahap tanggungjawab jenayah bagi seseorang kanak-kanak berbeza mengikut umur. Kanak-kanak yang berumur bawah 10 tahun tidak boleh dipertanggungjawabkan atas sebarang kesalahan jenayah, manakala mereka yang berumur 10 hingga 12 tahun boleh didakwa hanya dengan adanya bukti tahap kematangan yang mencukupi untuk memahami akibat perbuatan mereka.
Bagi yang berumur 14 tahun dan ke atas, mahkamah mempunyai kuasa untuk mengenakan hukuman ke atas kesalahan tersebut serta hukuman penjara.
Akta Kanak Kanak 2001 vs. Akta Kanun Keseksaan 302
Akta Kanak-Kanak lebih bersifat procedural, di mana ia menyediakan kerangka dan tatacara khas untuk mengendalikan kes yang melibatkan pesalah kanak-kanak. Manakala, Akta Kanun Keseksaan 306 merupakan undang-undang yang menetapkan jenis kesalahan dan hukuman jenayah yang bersifat punitive in nature, iaitu memberi fokus kepada menghukum pelaku atas kesalahannya.
Akta Kanak-Kanak bukan menekan hukuman semata-mata, malah akta ini juga menekankan aspek pemulihan, perlindungan dan penjagaan. Hal ini adalah untuk memastikan bahawa kanak-kanak yang berkonflik dengan undang-undang tetap dilindugi dari segi maruah, kerahsiaan dan hak mereka sebagai individu bawah umur. Contohnya, identiti pesalah kanak-kanak tidak boleh didedahkan oleh media dan perbicaraan mereka dijalankan dalam Mahkamah Kanak-Kanak, iaitu bukan mahkamah biasa seperti pesalah lain.
Menurut Sinar Harian, Peguam Haniff Khatri Abdullah menjelaskan bahawa perbicaraan di Mahkamah Kanak-Kanak ini selalunya dijalankan secara tertutup dan hanya dihadiri oleh pihak berkaitan sahaja.
Mahkamah Kanak-Kanak bersidang dengan seorang majistret dan dua orang penasihat daripada kalangan orang awam, dan salah seorang daripadanya mesti wanita.
Perbicaraan di Mahkamah Kanak-Kanak ini tertutup. Ia cuma boleh dihadiri oleh pihak-pihak yang berkaitan iaitu kanak-kanak yang dituduh, mangsa, ibu bapa, pegawai mahkamah, peguam-peguam,” katanya.
Selain itu, selagi pesalah kanak-kanak belum didapati bersalah, segala perlindungan wajib diberikan kepada kanak-kanak, menjadikan pesalah bawah umur dilayan berbeza berbanding pesalah dewasa.
Istilah ‘sabitan bersalah’ pula dikatakan tidak sesuai untuk digunakan bagi kes yang melibatkan kanak-kanak meskipun kes jenayah. Ayat yang sesuai digunakan hanyalah ‘penemuan bersalah’ dan penemuan itu juga bukan untuk pendedahan umum tetapi hanya digunakan oleh pihak penguatkuasa sekiranya pesalah sama terlibat dengan kes lain pada masa hadapan.
Sekolah Juvana
Menurut peguam Haniff, sekiranya kesalahan kanak-kanak tersebut diberikan hukuman penjara, pelaku tidak akan dihantar ke penjara, sebaliknya ke insitusi pemulihan akhlak yang juga dikenali sebagai sekolah Juvana seperti Sekolah Henry Gurney sebagai banduan muda
Hukuman yang boleh diberikan terhadap kanak-kanak di Mahkamah Kanak-Kanak, jikapun ia adalah hukuman yang boleh membawa kepada penjara sekalipun, dia tidak akan diperintahkan ke penjara.
Dia boleh diperintahkan kepada tempat pemulihan akhlak seperti Sekolah Henry Gurney dan institusi yang seangkatan dengannya,” katanya.
Namun, penting untuk difahami juga bahawa ini tidak bermaksud kanak-kanak yang telah melakukan jenayah boleh terlepas daripada tindakan undang-undang. Jika seseorang pelajar melakukan jenayah seperti mencedarakan, mencuri atau membunuh, mereka masih boleh didakwa di bawah Kanun Keseksaan, tetapi bezanya adalah prosiding tersebut akan dijalankan mengikut prosedur khas yang telah ditetapkan oleh Akta Kanak-Kanak.
Walaupun undang-undang menganggap mereka sebagai kanak-kanak, mereka masih perlu bertanggungjawab terhadap perbuatan mereka, cumanya pendekatan undang-undangnya adalah untuk mendidik daripada menghukum sepenuhnya.
Jadi, kita memang tak boleh ambil ringan terhadap isu kanak-kanak yang terlibat dalam kes jenayah. Ini bukan lagi sekadar tanggungjawab ibu bapa atau pihak sekolah semata-mata, tetapi juga tanggungjawab negara secara keseluruhan untuk membentuk persekitaran sosial di samping membina nilai moral yang kukuh. Lebih baik kita cegah daripada terpaksa memulihkan selepas segalanya sudah terjadi.
Sumber: Sinar Harian, Common LII