Lembaga Tabung Haji (TH) dilaporkan meneruskan proses pembelian Putrajaya Perdana pada 2014 ketika syarikat itu dikaitkan dengan kawalan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low melalui UBG Bhd.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, keterangan bersumpah dalam kes SRC International menunjukkan Putrajaya Perdana masih di bawah kawalan Jho Low sehingga penjualan syarikat oleh UBG selesai pada April 2015.
Menurutnya, proses pembelian oleh TH bermula dengan kelulusan Panel Pelaburan pada Julai 2014, diikuti kelulusan Lembaga dan Menteri sebelum perjanjian jual beli ditandatangani pada Disember tahun sama.
TH kemudian membayar RM193.5 juta untuk 30 peratus pegangan dalam Putrajaya Perdana, walaupun Bahagian Penyelidikan TH sebelum itu menganggarkan nilainya hanya sekitar RM124 juta hingga RM155 juta.
Pelaburan itu dibuat berdasarkan janji syarikat akan disenaraikan semula dalam tempoh setahun dan mencatat keuntungan RM86 juta pada 2015. Namun, kedua-dua janji tersebut gagal dicapai.
TH kemudian melaksanakan opsyen jual bernilai RM210.7 juta pada Mac 2018 dan menuntut penjual mengambil semula saham tersebut, namun bayaran tidak dibuat. Setakat tahun kewangan 2024, pelaburan RM193.5 juta itu telah dirosot nilai sepenuhnya.

Artikel berkaitan: Rugi RM10 Bilion? Laporan RCI Tabung Haji: 6 Rumusan Penting Rakyat Perlu Tahu
Artikel berkaitan: “Majlis perkahwinan nak dibuat, pengantin tak datang” – Pembangkang Mohon Tangguh Sidang Khas RCI Tabung Haji Isu Kehadiran PMX
Bagaimanapun, Amir Hamzah menegaskan mahkamah tidak membuat sebarang penemuan bahawa Jho Low merupakan pemilik benefisial Putrajaya Perdana ketika itu, sebaliknya kaitan tersebut berdasarkan keterangan bersumpah yang direkodkan dalam kes SRC International.
Terdahulu, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membangkitkan peranan Jho Low dalam Putrajaya Perdana dengan merujuk kepada rekod kes SRC International serta mempersoalkan pelaburan dana pendeposit TH dalam syarikat berkenaan.
SRC International Sdn Bhd merupakan bekas anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan didakwa pernah dikawal secara rahsia oleh Jho Low melalui syarikat UBG.
Sumber: Harian Metro

8 hours ago
7































:format(webp)/article/eqstJsRKUpSX2b8nsKE1k/original/t3wozuijo4ms09v25p6egu2bbvt18xxg.jpg?w=128&q=100)


















