Isu pesawat Malaysia Airlines, MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 2014 dibangkitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuannya bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Perkara itu dibangkitkan semasa rundingan dua hala beliau dengan Presiden Rusia itu di Kremlin, sebagai mewakili keluarga mangsa yang terjejas akibat insiden berkenaan.
“Tentunya saya sebagai mewakili rakyat Malaysia, terutama keluarga mangsa, mengambil kesempatan untuk membangkitkan isu tersebut kepada Presiden Vladimir Putin semasa mengadakan rundingan dua hala,” katanya.
Artikel berkaitan: Insiden Tembak Jatuh MH17: 2 Warga Rusia & Seorang Warga Ukraine Dihukum Penjara Seumur Hidup
Artikel berkaitan: 7 Tahun Lalu Pada Hari Ini, MH17 Ditembak Jatuh & Mengorbankan 298 Nyawa
Beliau diminta untuk mengulas mengenai perkembangan terkini berhubungan keputusan Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bahawa Rusia bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17.
Menurut laporan ICAO, pesawat itu dalam perjalanan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur apabila ditembak jatuh oleh peluru berpandu Rusia semasa terbang melintasi timur Ukraine, ketika berlakunya pertempuran antara kumpulan pemisah pro-Rusia dan tentera Ukraine.
Perdana Menteri berkata, Putin mendengar dengan meneliti perkara yang dibangkitkan sebelum menzahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
Jelas Anwar, Presiden Rusia itu telah meminta supaya siasatan rapi dan menyeluruh dijalankan serta tidak mahu isu terbabit dipolitikkan.
Menurut Putin, sejak awal lagi, Moscow memohon supaya siasatan berhubung perkara itu harus bebas dan teliti selain menegaskan bahawa Rusia sedia memberikan kerjasama untuk memastikan laporan itu lebih berwibawa.
Sehubungan itu, Anwar akan menjelaskan kepada keluarga mangsa berhubung maklum balas yang diberikan oleh Putin.
“Cuma yang saya dapat pastikan ialah beliau kata tidak benar kalau beliau tidak sedia untuk memberikan kerjasama tetapi beliau tidak mahu bekerjasama dengan mana-mana badan yang beliau atau Rusia anggap sebagai tidak bebas,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar menjelaskan Malaysia kekal dengan pendirian bahawa kebenaran dan keadilan harus terus diperjuangkan dengan menuntut kerjasama semua pihak dalam memastikan siasatan serta proses yang bebas dan adil.
Sumber: Bernama