Seorang pekerja kuari dilaporkan tertimbus dalam kejadian runtuhan batu di Kuari IJM, Ulu Gali, Sungai Ruan, Raub, kira-kira jam 12.50 tengah hari semalam.
Mangsa, Mohammad Fazrul Illahi Ab Rahman, 30, dari Tanah Merah, Kelantan, sedang mengendalikan jentera pengorek sebelum dihempap runtuhan batu dari kawasan bukit berhampiran. Difahamkan, beliau sempat melompat keluar daripada jentera, namun tertimbus dalam kawasan runtuhan seluas kira-kira 300 meter.
Menurut laporan Astro Awani, tiga lagi pekerja warga asing dilaporkan cedera ringan dalam insiden itu dan kini dirawat di Hospital Raub. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera digerakkan dengan penglibatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta agensi lain.
Bagaimanapun, usaha pasukan penyelamat berdepan kesukaran berikutan masih berlaku pergerakan tanah di lokasi kejadian. Operasi hari pertama ditangguhkan pada jam 7.30 malam kerana keadaan gelap, dan disambung semula pagi ini.
Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM turut dikerahkan bagi membantu mengesan mangsa yang dipercayai masih tertimbus.
Baca: Hanya Mampu Berpelukan Ketika Rumah Tiba-tiba Bergoyang – Mangsa Terselamat Kejadian Tanah Runtuh