Kelab bola sepak, Johor Darul Ta’zim (JDT) dikenakan denda sebanyak AS$24,000 (bersamaan kira-kira RM103,008) oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berikutan insiden melibatkan penyokong dan pemain semasa perlawanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang Buriram United, Mac lalu.
Menurut Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC, JDT didapati bersalah atas tiga pertuduhan: tingkah laku tidak terkawal penyokong, kelemahan dalam pengurusan perlawanan, serta kegagalan menunjukkan semangat kesukanan selepas kekalahan 0-1 dalam aksi timbal balik pusingan 16 di Stadium Sultan Ibrahim.
Memetik laporan Sinar Harian, insiden bermula apabila jaringan Jorge Obregon pada minit ke-97 dibatalkan kerana ofsaid, yang mencetuskan kemarahan penyokong. Sebahagian mereka bertindak membaling objek ke arah penjaga garisan, Abdulhadi Al-Enezi.
Sebagai hasil siasatan, AFC mengeluarkan tiga jenis denda berasingan iaitu, RM42,920 kerana melanggar Artikel 65.1 – berkaitan kelakuan tidak sopan penyokong, RM55,796 kerana melanggar Artikel 64.1 – berkaitan kelemahan dalam organisasi perlawanan, RM4,292 kerana melanggar Artikel 50.1 – berkaitan tingkah laku tidak profesional pemain.
AFC turut menetapkan bahawa semua denda ini perlu dijelaskan dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan dimaklumkan.
Baca: JDT Perkenal Pemain Baharu, Jese Rodriguez, Pernah Bermain Untuk Real Madrid & PSG