Sebuah kapal latihan milik Tentera Laut Mexico, Cuauhtémoc, merempuh Jambatan Brooklyn baru-baru ini sehingga mengakibatkan kerosakan besar pada tiang layar dan mencederakan sekurang-kurangnya 19 orang.
Memetik laporan Astro Awani, insiden itu berlaku sekitar jam 8.26 malam waktu tempatan ketika kapal sepanjang 90.5 meter itu sedang belayar melalui Sungai East dalam lawatan promosi antarabangsa. Tiga tiang layar setinggi 147 kaki (kira-kira 44.8 meter) terkena bahagian bawah jambatan, menyebabkan sebahagian struktur patah dan runtuh.
Datuk Bandar New York, Eric Adams, memaklumkan empat mangsa mengalami kecederaan serius manakala 15 lagi cedera ringan. Pasukan penyelamat turut menjalankan operasi mencari dan menyelamat bagi mengenal pasti jika ada kru atau pengunjung yang tercampak ke dalam sungai.
Pihak berkuasa termasuk Jabatan Polis New York (NYPD) telah menutup laluan di sekitar jambatan dan melancarkan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, termasuk kemungkinan kegagalan komunikasi atau kesilapan navigasi.
Kapal Cuauhtémoc sebelum ini berlepas dari Acapulco, Mexico, pada 6 April dengan 277 individu di atas kapal. Ia dijadualkan melawat 22 pelabuhan di 15 negara termasuk Havana, Reykjavik, dan Bordeaux.
Susulan insiden tersebut, Tentera Laut Mexico mengumumkan bahawa semua jadual pelayaran Cuauhtémoc ditangguhkan sementara bagi tujuan pemeriksaan keselamatan menyeluruh.
Baca: Tidak Dapat Tampung Berat, Jambatan Kabel TNB Di Bayan Lepas Runtuh