Selepas menjalani tiga pembedahan besar akibat kecederaan parah dalam nahas ngeri melibatkan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Selasa lalu, Koperal Syed Isfan Syed Mohammad kini sudah sedar, namun keadaannya masih belum stabil.
Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Dr Feisul Idzwan Mustapha, anggota berusia 32 tahun itu mengalami kecederaan serius membabitkan pelbagai organ dan tulang selepas trak yang membawa 18 anggota FRU bertembung dengan sebuah lori membawa muatan batu di KM15, Jalan Sungai Manik, Teluk Intan.
“Pesakit alami kecederaan pada paru-paru, diafragma, hati, limpa, buah pinggang dan pundi kencing. Dia juga patah beberapa tulang termasuk tulang rusuk, kaki dan pinggul.
“Masa tiba di HRPB (Ipoh), dia terus jalani tiga pembedahan awal. Mungkin kena lalui lagi beberapa prosedur lain,” katanya memetik Harian Metro.
Artikel berkaitan: Anggota FRU Kongsi Di Sebalik Gambar Menangis Sambil Pegang Erat Anak OKU Mangsa Nahas FRU
Artikel berkaitan: “Dia baru tahu 9 rakannya meninggal dunia. Dia rasa bersalah” – Isteri Pemandu Trak FRU

Dr Feisul memaklumkan, beliau sendiri melawat mangsa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), dan doktor pakar mengesahkan perkembangan mangsa semakin baik.
“Dah sedar, tapi masih serius,” katanya dalam sidang media di Hospital Teluk Intan hari ini.
Sementara itu, lima lagi anggota FRU yang cedera kini masih menerima rawatan di Hospital Teluk Intan; empat daripadanya di ICU dan seorang lagi di wad pembedahan.
“Pesakit yang berada di wad pembedahan tunjuk perkembangan baik. Kalau semuanya lancar, dia mungkin boleh discaj tak lama lagi,” kata Dr Feisul.