FT IMAGE LM 10

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Langkah menggabungkan antara Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) bersama Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) di bawah seliaan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tidak membabitkan kos tambahan, seperti dakwaan yang berlegar di sosial media.

Sebelum ini, ada yang mendakwa gabungan antara dua institusi ini akan membuka ruang kepada penyalahgunaan wang zakat, namun hakikatnya ini merupakan strategi bagi memastikan dana zakat disalurkan terus kepada manfaat pendidikan golongan yang memerlukan.

ALF IMG 067

Inisiatif penggabungan ini dapat mengoptimumkan penggunaan aset dan kemudahan yang sedia ada, sekaligus dapat meningkatkan kualiti pendidikan pelajar asnaf. Sebagai contoh mudah, pelajar IKB yang sebelum ini tiada pusat sumber, sekarang sudah boleh memanfaatkan pusat sumber yang ada di bangunan KPBKL.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, penyelarasan ini bukan sekadar mengubah nama, tapi salah satu usaha bagi memperkasa institusi pendidikan milik MAIWP melalui penjenamaan baharu sebagai Kolej Profesional (KP) MAIWP.

ALF IMG 049

ALF IMG 059

Tambah beliau, usaha ini juga tidak memerlukan sebarang peruntukan baharu daripada kerajaan kerana ia bergantung sepenuhnya kepada fasiliti dan tenaga kerja yang sudah pun tersedia dalam kedua-dua institusi.

Langkah penyatuan ini sebenarnya telah melalui penelitian yang menyeluruh melibatkan pelbagai pihak termasuk pakar pendidikan, serta mengambil kira dasar kerajaan dan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Menurut Dr Mohd Na’im, penstrukturan ini melalui proses kajian yang terperinci. Ia juga selari dengan pelan rasionalisasi kerajaan dalam memastikan institusi pendidikan kekal relevan dan bersaing.

Tegas beliau lagi, penyatuan ini akan memberi manfaat besar kepada pelajar asnaf, termasuk peningkatan dalam modul pembelajaran, pengiktirafan kelayakan, serta peluang kerjaya yang lebih luas.

ALF IMG 018

“Mana-mana pihak yang mempertikai usaha ini sebenarnya sedang menolak keputusan yang telah dipersetujui oleh Kabinet dan diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda”

Sejak ditubuhkan sejak lebih tiga dekad lalu, KPBKL telah melahirkan lebih 18,000 graduan dan kini akan terus berkembang di bawah identiti baharu KP MAIWP