“Dah tak sanggup lagi” – Ini 6 Filem Yang Hampir Buat Bintang Hollywood ‘Give Up’ Dengan Kerjaya Lakonan Mereka

13 hours ago 5

Sejujurnya, tiada siapa pun yang masuk ke set penggambaran dengan niat nak hasilkan filem yang teruk. Lagi-lagi bila dah popular, berlakon pula dengan barisan pelakon hebat, pengarah pun bagus, jadi tak pelik pun kalau memang ingat tak akan ada masalah. Ditambah pula dengan filem yang sebelum ni pun meletup, mestilah ramai yakin projek seterusnya pun akan sama hebat.

Kita sebagai penonton pun kalau nampak filem tu gempak, mesti ingat pelakon pun bangga dengan hasil kerja mereka. Tapi, sebenarnya tak semua macam tu. Ada je pelakon yang rasa menyesal atau hilang minat dengan dunia lakonan mereka, bahkan ada yang rasa nak ‘give up’ terus dengan dunia lakonan.

So, nak tahu filem apa dan siapa pelakon yang hampir nak ‘give up’ dengan kerjaya lakonan mereka? Haa… jom baca artikel bawah ni.

1. The Twilight Saga – Robert Pattinson 

robert pattinson business insider

Siapa je tak tahu filem The Twilight Saga yang menjadi asbab kepada kemuncak zaman kegemilangan Robert Pattinson. Tapi, siapa sangka yang dia sebenarnya tak pernah sekali pun menggemari siri Twilight yang diminati ramai ini.

Walaupun fenomena filem ni sampai ke tahap global, dia sendiri pernah mengakui bahawa siri filem tu bukanlah sesuatu yang manis untuk dikenangkan pun. Malah, dia juga merasakan betapa ‘tak logiknya‘ kisah percintaan antara manusia dan vampire. 

Robert Pattinson mengatakan bahawa uji bakat filem itu merupakan antara yang paling teruk dia pernah buat, hingga dia sempat menelefon ibu bapanya untuk meluahkan rasa kecewa terhadap dirinya sendiri.

“Itu antara sesi uji bakat paling teruk dalam hidup saya. Saya sampai telefon mak ayah dan cakap, ‘Saya dah tak sanggup. Cukup la seksa diri macam ni.’” 

Namun, walaupun dia rasa dirinya sangat teruk, akhirnya dia juga yang terpilih memegang watak Edward Cullen.

Artikel Berkaitan: Glamour Tak Jamin Kemewahan, Ini 5 Bekas Bintang Hollywood Kini Jadi Gelandangan – Lobak Merah

Artikel Berkaitan: Populariti Bukan Segalanya, 6 Selebriti Hollywood Ini Masih Buat ‘Side Job’ Walaupun Dah Terkenal – Lobak Merah

2. The Wolf of Wall Street – Margot Robbie

margot robbie marie claire

Filem The Wolf of Wall Street juga telah menaikkan lagi seorang bintang Hollywood di mata global, iaitu Margot Robbie. Wataknya sebagai Naomi Lapaglia bukan saja mencuri perhatian penonton, tapi terus menjadikan dia antara pelakon wanita paling terkenal ketika itu.

Namun, di sebalik kejayaan besar itu, Margot Robbie merasakan bahawa kehidupannya berubah sekelip mata je. Malah, perkataan ‘berubah’ pun mungkin terlalu ringan untuk digambarkan kerana bagi Robbie sendiri, perubahan itu datang terlalu cepat dan besar untuk ditanggung.

“Pada waktu tu, semuanya berlaku terlalu pantas dan agak menakutkan. Saya sampai cakap pada ibu saya, ‘Saya rasa saya tak nak buat benda ni lagi,’” katanya dalam temu bual bersama Vanity Fair.

Ibunya pula membalas dengan tenang bahawa Robbie mungkin sudah terlewat untuk berhenti sekarang sebab secara realitinya, satu-satunya pilihan yang tinggal adalah untuk meneruskan je perjalanan kerjaya lakonan tersebut.

3. Harry Potter – Emma Watson

emma watson people

Korang tahu tak, Emma Watson yang dah berlakon dalam lapan siri filem Harry Potter tu pun sebenarnya pernah terfikir nak berhenti terus dari dunia lakonan?

Sepanjang bertahun-tahun dia membesar dengan watak Hermione Granger, Emma mula rasa macam hilang identiti diri sendiri. Dalam salah satu temubual dia bersama Vanity Fair pada tahun 2017, dia mengaku yang semasa penggambaran filem-filem terakhir Harry Potter, dia pernah di tahap sudah tak kenal dirinya lagi.

Ketika dia sibuk dengan sambung belajarnya di Brown University pada tahun 2009, Emma pernah terfikir untuk meninggalkan dunia Hollywood sepenuhnya.

“Saya rasa kalau saya nak berhenti, sekaranglah masanya. Kalau tak, saya mungkin takkan dapat peluang tu lagi,” katanya.

Tapi akhirnya, Emma kembali sedar yang untuk menjadi seorang pelakon yang berjaya memang didatangi dengan populariti yang tidak dapat dielakkan. Jadi, dia mula belajar untuk hadap je segala tekanan dengan tenang supaya masih ada sempadan antara kerjaya lakonannya dan kehidupan peribadinya.

Menariknya, sebenarnya bukan Emma je pernah rasa macam ni. Tapi, seluruh trio utama Harry Potter iaitu Danielf Radcliffe, Rupert Grint dan Emma sendiri, semuanya pernah terfikir nak ‘give up’  dengan kerjaya lakonan mereka.

4. The Kissing Booth – Jacob Elordi 

jacob vogue post

Jacob Elordi merupakan pelakon yang membawa watak Noah Flynn dalam trilogi The Kissing Booth, mengakui bahawa kejayaannya dalam filem tersebut sebenarnya bukan apa yang dia sangkakan.

Dalam salah satu temubual bersama media, dia menjelaskan bahawa dia belum bersedia lagi dengan perubahan mendadak selepas filem pertamanya ditayangkan pada tahun 2018. Sebab bayangkan, hanya dalam satu malam je, jumlah pengikut Instagram-nya meningkat lebih daripada empat juta orang.

Jacob Elordi juga menjelaskan bahawa perhatian media dan populariti yang datang tiba-tiba itu membuatkan dia tidak selesa dan ingin berhenti dari dunia lakonan.

“Saya benci bila rasa macam hidup saya dah jadi macam tontonan umum. Saya rasa sangat jauh daripada diri sendiri,” katanya.

Walaupun tidak selesa dengan perhatian media, dia tetap meneruskan kerjayanya dalam dunia lakonan.

5. Star Trek – Chris Hemsworth 

chris hemsworth hollywood reporter

Sebelum dikenali sebagai Thor dalam Marvel Cinematic Universe, Chris Hemsworth sebenarnya hanyalah pelakon drama bersiri di Australia. Peluang besarnya datang pada tahun 2009 apabila dia ditawarkan watak George Kirk dalam filem Star Trek dan filem tersebut mendapat sambutan hebat dan pujian tinggi, menyebabkan dia menyangka bahawa kerjanya dalam Hollywood akan melonjak naik.

Namun, dunia tidaklah seindah seperti yang kita sangkakan. Dalam temu bual bersama Men’s Health, dia mengakui bahawa dia langsung tidak menerima sebarang tawaran besar selepas itu.

“Saya hampir nak berhenti. Saya jadi semakin cemas sampai tenaga tu dah tak boleh nak dikawal. Semuanya terasa sedang memakan diri.” 

Malah, dia sempat terfikir untuk pulang ke Australia dan menyambung semula watak siri drama lamanya sebelum mendapat watak dalam The Cabin in the Woods yang akhirnya membuka jalan untuk memegang watak Thor.

6. Fantastic Four: Rise of the Silver Surfer – Jessica Alba

jessica alba bleeding cool

Jessica Alba yang memegang watak sebagai Susan Storm dalam filem Fantastic Four: Rise of the Silver Surfer pada tahun 2007 pernah berkongsi bahawa walaupun filem tersebut berjaya memecah panggung, pengalaman berlakon di dalamnya telah meninggalkan kesan yang mendalam sehingga membuatkannya hilang minat terhadap kerjaya lakonan.

Dia masih ingat lagi kata-kata Tim Story, iaitu pengarah filem tersebut yang sering memberi komen tentang lakonannya.

“Pengarah asyik cakap, ‘Nampak terlalu real. Terlalu menyedihkan. Boleh tak menangis dengan lebih cantik? Jangan buat muka macam tu, nanti kami boleh tambah air mata guna CGI,’” katanya dalam satu temu bual.

Perkara tersebut secara tak langsung membuatkan dia mempersoalkan kerjayanya sendiri. Ketika itu, dia juga sudah mula rasa tidak lagi mahu peduli dengan dunia lakonan kerana komen pengarah tersebut sering membuatkan dia ragu dengan bakat dan kemampuan diri.

Kadang-kadang, di sebalik cahaya kamera dan sorakan peminat, terselit juga rasa sunyi yang ramai tak nampak. Setiap senyuman yang dirakam tak semestinya datang daripada hati yang tenang, sebab dalam dunia hiburan ni tak semua kejayaan terasa seperti kemenangan.

Ada masa mereka bangga dengan hasil kerja sendiri, tapi ada juga hari yang rasa nak lari je dari semua tu. Biasalah kehidupan memang tak pernah sempurna, samalah juga dengan mereka, walaupun memiliki segala kemewahan dan populariti.

Sumber: Slash Film

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |