Beberapa jalan raya di sekitar Malaysia menggunakan konsep garisan jalan bercahaya dalam gelap atau lebih dikenali sebagai jalan raya glow in the dark.
Ramai yang menyambut baik projek tersebut kerana ia dapat membantu pengguna jalan raya lalu di kawasan itu dengan lebih selamat.
Pun begitu, siapa sangka jalan glow in the dark pertama yang diperkenalkan di Semenyih kini sudah tidak bercahaya lagi seperti yang diharapkan oleh pengguna jalan raya.
Artikel berkaitan: Kos Nak Buat Garisan Jalan ‘Glow in the Dark’ Hampir 20 Kali Ganda Mahal Dari Kaedah Konvensional
Ia susulan tular sebuah video di media sosial yang memperlihatkan lokasi terletaknya jalan glow in the dark itu gelap selepas lampu kereta dimatikan di kawasan tersebut.
Menerusi video tersebut, kelihatan papan tanda Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kuala Langat menyatakan jalan di seberangnya mempunyai garisan jalan yang bercahaya dalam gelap.
Bagaimanapun, apabila pemandu kereta itu mematikan lampu kenderaan, jalan raya itu menjadi gelap gelita yang mana garisan bercahaya juga tidak kelihatan.
Perkongsian video terbabit menjadi bualan netizen, rata-ratanya meluahkan rasa kecewa dengan kualiti cat yang digunakan dalam menerangi jalan seperti yang diharapkan.
Selain itu, ada yang mendakwa keadaan itu boleh berlaku kerana banyak lori yang lalu lalang dengan melanggar garisan glow in the dark itu yang menyebabkan ia semakin terhakis sehinggalah akhirnya sudah tidak bercahaya lagi.
Justeru, netizen meminta pihak berwajib untuk memantau semula lokasi berkenaan kerana boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.
Untuk rekod, pemasangan cat jalan glow in the dark yang pertama di negara ini telah di laksanakan di Jalan Sungai Lalang, Semenyih, Selangor pada tahun lalu.
Konsep tersebut ialah garisan di jalan raya kelihatan normal pada waktu siang namun akan bercahaya pada waktu malam.
Ia bagi memastikan pengguna jalan raya memandu lebih selamat dan sangat membantu terutamanya bagi pengguna jalan raya yang tidak biasa memandu melalui sesuatu kawasan baharu.
Namun, difahamkan kerajaan mungkin tidak bercadang untuk meneruskan projek terbabit kerana ia melibatkan kos yang tinggi.
Sumber: Facebook