Pejam celik, tahun 2024 bakal melabuhkan tirainya tidak lama lagi. Terdapat banyak peristiwa, insiden, cerita, gosip dan berita yang berlaku sepanjang tahun ini.
Untuk tahun ini, Google telah membentangkan laporan tahunan carian bagi tahun 2024 mengikut beberapa kategori.
Ruhainies individu paling dicari
Berdasarkan pemerhatian Lobak Merah, pelakon Ruhainies menjadi individu paling mencuri tumpuan apabila berada di tempat pertama dalam senarai carian Google bagi kategori masyarakat.
Namanya menjadi yang paling dicari disebabkan sebahagian carian adalah berkaitan kontroversi melibatkan dirinya dengan aktor kelahiran Singapura, Aliff Aziz yang juga menduduki tempat ketiga dalam senarai itu.
Kedua-duanya menjadi tajuk utama pada awal tahun berikutan kontroversi yang terjadi di antara mereka dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Artikel berkaitan: Aliff Aziz & Ruhainies Mengaku Tidak Bersalah Berkhalwat, Mohon Kes Dibicarakan
Pun begitu, tidaklah semua perkara berkaitan gosip yang rakyat Malaysia cari apabila jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang juga tersenarai dalam individu yang paling ramai cari.
Hal ini berikutan insiden pembatalan ‘The Pocket Rocketman’ daripada acara keirin lelaki pada Sukan Olimpik Paris 2024 yang menjadi luka buat kita semua.
Euro 2024, STR kata kunci paling banyak dicari tahun ini
Sementara itu, temasya bola sepak Euro 2024 merekodkan carian tertinggi setakat ini, menunjukkan sukan bola sepak amat dekat dengan rakyat Malaysia.
Euro 2024 atau Kejohanan Piala Eropah yang diadakan Julai lalu menjadi perhatian peminat bola sepak seluruh dunia termasuklah peminat dalam negara.
Carian tertinggi di tangga kedua pula adalah Sumbangan Tunai Rahmah (STR) iaitu satu inisiatif kerajaan dalam bentuk bantuan tunai yang diberikan kepada rakyat Malaysia daripada golongan miskin, B40 dan M40 mengikut kategori bujang, isi keluarga dan warga emas.
Manakala Pangkalan Data Utama (PADU) pula berada di kedudukan ketiga paling banyak dicari oleh orang ramai selepas pelancarannya pertengahan tahun ini.
Sumber: Google Trends