Gula-gula yang menyerupai peranti vape dan rokok kini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa kerana berpotensi mempengaruhi kanak-kanak sejak usia muda untuk meniru tabiat merokok.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa tindakan segera diambil untuk mengharamkan penjualan produk ini sebelum ia membawa kesan jangka panjang terhadap generasi muda.
Memetik laporan Buletin TV3, gula-gula ini bukan sekadar menarik perhatian kanak-kanak dengan reka bentuknya yang unik, tetapi juga berisiko menjadi pintu masuk kepada tabiat tidak sihat. Produk ini dilihat memberi kesan negatif, terutama kepada murid sekolah, kerana membiasakan mereka dengan perbuatan yang menyerupai menghisap rokok dan vape.
Pegawai Pendidikan CAP, N V Subbarow berkata kanak-kanak seawal usia tiga tahun kini terdedah kepada produk ini yang direka untuk meniru peranti sebenar. Trend ini menimbulkan kebimbangan kerana ia boleh menyebabkan generasi muda terbiasa dengan tabiat merokok sejak kecil. Terdapat juga produk yang mengandungi cecair dan boleh diisi semula, menjadikannya lebih mudah untuk kanak-kanak tertarik dan menggunakannya tanpa kawalan.
CAP menegaskan bahawa langkah pengharaman perlu dilakukan segera sebelum lebih ramai kanak-kanak terpengaruh. Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan tegas terhadap pengedar yang memasarkan produk ini dan memastikan ia tidak lagi dijual di pasaran. Jika isu ini tidak dikawal, risiko pendedahan kepada bahan berbahaya seperti nikotin semakin tinggi dalam kalangan generasi muda.
Langkah pencegahan awal amat penting untuk memastikan kanak-kanak tidak terjebak dengan tabiat yang boleh membawa kesan buruk kepada kesihatan dan gaya hidup mereka pada masa hadapan.
Baca: Pengusaha Rokok Elektronik Tidak Setuju Cadangan KKM Untuk Pengharaman Vape Secara Total