Syaz Ft 2024 12 12T170959.978

Gangguan seksual boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, baik lelaki, perempuan malah lebih menggerunkan jika ia berlaku kepada kanak-kanak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri bagaimanapun mendedahkan masih ramai lelaki yang enggan melaporkan kepada pihak polis jika mereka mengalami gangguan seksual.

Artikel berkaitan: Lepas Kes Gangguan Seksual, Individu Dakwa Bekas Kekasih Influencer Islamik Pula ‘Spill Tea’?

Artikel berkaitan: Nama ‘Naik’ Sebab Didakwa Terlibat Kes Gangguan Seksual, Qawiy Nafi Sekeras-kerasnya

Nancy Shukri

Berdasarkan rekod kementerian, lebih 1,000 aduan diterima daripada mangsa lelaki namun rekod polis pula menunjukkan hanya kira-kira 100 aduan dibuat oleh lelaki yang menjadi mangsa.

“Mungkin lelaki takut hilang macho jika mereka melaporkannya kepada polis kerana apabila laporan dibuat, polis akan menjalankan tindakan siasatan.

Berbanding jika mereka mengadu kepada pihak kami, mereka hanya mendapatkan bantuan kaunseling,” katanya.

Ahli Parlimen Santubong itu juga berkongsi gangguan seksual yang diterima lelaki berlaku dalam pelbagai bentuk.

“Ada satu kes diceritakan oleh lelaki yang menjadi mangsa kepada pegawai kami ialah dia berasa terganggu apabila diekori oleh lelaki lain hingga ke ‘fitting room’ ketika dia mencuba baju di sebuah kompleks membeli belah.

Itu juga adalah antara bentuk gangguan seksual terhadap lelaki dan daripada lebih 1,000 aduan yang diterima oleh kaunselor kami, kebanyakan mangsa adalah lelaki berusia antara 20-an hingga 40-an, yang berumur 50 ke atas hingga pesara tiada lagi,” katanya.

Tambahnya lagi, maklumat terperinci berkenaan kes gangguan seksual lelaki ini tidak dapat dikongsikan kerana ia perkara sulit di antara kaunselor dan mangsa.

Sumber: Berita Harian

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.