Ibu Mangsa Dedah Doktor Malaysia Lakukan Penderaan S*ksual Terhadap Remaja Pernah Tawar RM9,320 Untuk Tutup Kes

1 month ago 48

Minggu lalu, dilaporkan seorang pakar psikiatri kanak-kanak warganegara Malaysia dikenakan hukuman penjara 8 tahun 6 bulan selepas didapati bersalah melakukan penderaan dan pengantunan seksual (child grooming) terhadap seorang remaja perempuan di Dublin.

Kes terbabit menjadi tular di media sosial apabila satu laporan antarabangsa mendedahkan bagaimana si pelaku melakukan jenayah seksual terhadap mangsa.

Menurut sumber antarabangsa Irish Independent, pakar psikiatri yang dikenali sebagai Amirul Arif Mohd Yunos itu didakwa melakukan kesalahan tersebut terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di tempat kerjanya iaitu pusat Perkhidmatan Kesihatan Mental Kanak-kanak dan Remaja (CAMHS) di Clonskeagh, Dublin pada tahun lepas.

Amirul didakwa atas pertuduhan melakukan perbuatan seksual terhadap kanak-kanak bawah 17 tahun, eksploitasi seksual kanak-kanak serta pertuduhan mengadakan pertemuan dengan kanak-kanak bagi tujuan seksual.

Berikutan itu, Amirul mengaku salah atas enam pertuduhan tersebut dan kini berada dalam tahanan berkaitan kesalahan berkenaan sejak 14 bulan lalu.

Artikel berkaitan: Doktor Malaysia Dihukum Penjara Di Ireland, Didakwa Lakukan Penderaan S*ksual Terhadap Remaja Perempuan

Sn Psychiatrist 1

Tidak didakwa atas tuduhan rogol

Pun begitu, keputusan mahkamah mencetuskan kemarahan ramai apabila dia tidak didakwa atas tuduhan rogol, meskipun bukti menunjukkan berlakunya kejadian kejam dan berulang.

Menurut laporan, mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun, diperkenalkan kepada Amirul oleh ibu bapanya yang meminta bantuan selepas pandemik Covid-19.

Amirul, seorang pakar psikiatri kanak-kanak yang dipercayai menawarkan sesi ‘terapi’ percuma. Tetapi, terapi tersebut menjadi permulaan kepada penderaan yang kejam.

Si pelaku juga menggunakan istilah ‘pelajaran biologi’ untuk melakukan jenayah terkutuknya terhadap mangsa.

Screenshot 2024 12 10 104234

Mangsa yang kini berusia 17 tahun dilaporkan telah mengalami PTSD yang teruk, kemurungan, insomnia, dan gangguan makan.

Selain itu, mangsa juga telah cuba membunuh diri tiga kali akibat tekanan daripada pelaku dan mengalami gangguan makan kerana dia tidak mahu mempunyai bentuk badan yang boleh menarik perhatian lelaki.

“Ia menghancurkan hidupnya. Sebelum ini, dia seorang gadis ceria, bijak, dan berprestasi tinggi. Sekarang, dia hidup seperti mayat berjalan,” kata ibunya.

Mangsa ditawar pampasan 

Dalam laporan itu, keluarga mangsa juga mengkritik keluarga Amirul kerana menawarkan pampasan sebanyak €2,000 (RM9,320.40) kepada mangsa dan menganggap ia adalah satu ‘penghinaan besar’ oleh keluarga mangsa.

Turut dinyatakan bahawa mahkamah diberitahu mengenai keterangan daripada ahli keluarga Amirul di Malaysia dan Ireland.

“Dia berasal daripada keluarga berpengaruh di Malaysia. Kami merasa jijik terhadap keluarganya dan orang lain yang memberikan keterangan mengenai wataknya yang baik.

“Sangat menakutkan memikirkan sejauh mana toleransi mereka terhadap jenayah sadis seperti ini terhadap seorang kanak-kanak,” kata ibu mangsa.

Difahamkan, hukuman penjara dijatuhkan bermula dari tarikh dia mula ditahan dan Amirul dijangka dibebaskan dalam masa kurang daripada lima tahun sebelum dihantar pulang ke Malaysia.

Sumber: Irish Independent, Malaysiakini

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |