Kita dikejutkan dengan berita kebakaran sebuah rumah di Kampung Berangan Enam, Umbai, Merlimau, Melaka yang mengorbankan lima beranak pada awal pagi tadi.
Mangsa yang terkorban adalah empat kanak-kanak perempuan serta seorang wanita, iaitu ibu mereka.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, mangsa, Laila Fathinah Mustapa, 37 dan anaknya, Nur Damia Batrisyia Abdullah,13; Izz Daffa Hafizuddin,7; Nur Dalilah Khadijah, 6 dan Izz Danish Fathi empat tahun ditemui dalam keadaan rentung di dalam kediaman mereka.
Suaminya, Muhammad Khairuddin Sa’ari, 35, bagaimanapun terselamat selepas penduduk kampung membantu membawa keluar melalui tingkap rumah.
Artikel berkaitan: Rumah Terbakar Di Umbai: Isteri Sempat Kejut Suami Sebelum Rentung
Wanita rentung sedang hamil 5 bulan
Lebih menyayat hati, mangsa wanita rupanya sedang hamil lima bulan seperti dimaklumkan oleh ibunya, Ruziha Osman.
Menurut Ruziha, anak sulungnya itu sedang hamil anak ketujuh dan tragedi menyayat hati berkenaan berlaku selepas beberapa jam dia menghantar Laila dan anak-anaknya pulang ke kediaman berkenaan dari Puchong, Selangor.
“Memang arwah sedang hamil, malam tadi saya baru sahaja hantar mereka, tidak sangka kejadian ini berlaku beberapa jam selepas itu.
“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap malah ceria dan bergurau seperti biasa,” katanya.
Jelasnya, Laila mempunyai enam cahaya mata, namun anak sulung dan kedua tinggal bersamanya di Puchong.
Apabila mendapat perkhabaran mengenai kebakaran itu, pada awalnya dia menyangka hanya kebakaran biasa, namun tersentak apabila dimaklumkan anak serta empat cucunya rentung dan gagal diselamatkan.
Difahamkan, kedua-dua anak mangsa tinggal di Puchong buat sementara kerana pada dua minggu lalu mereka sekeluarga terlibat kemalangan yang menyebabkan si suami dan anak kedua alami kecederaan dan sedang menerima rawatan di PPUM.
Sumber: Kosmo!