Seorang wanita di sebuah kondominium di Ratchada mencetuskan kekecohan apabila melepaskan dua ekor ular di kawasan lif sebagai protes terhadap jiran-jirannya yang memelihara anjing dan kucing.
Memetik laporan Buletin TV3, wanita berkenaan, dikenali sebagai Onginn, turut berkongsi video dan gambar ular itu di media sosial. Dalam hantaran Facebooknya, dia mendakwa sudah beberapa kali membuat aduan kepada pihak pengurusan mengenai gangguan bunyi bising, air kencing kucing, kutu dan pepijat, namun tiada tindakan diambil.
Dalam nada sinis, wanita itu meletakkan kapsyen dalam hantaran Facebooknya,
Awak bela anjing dan kucing, saya bawa ular. Biar kondominium ini jadi taman hidupan liar”
Tindakan wanita itu telah mendapat perhatian orang ramai. Ada yang menyokong tindakannya sebagai ‘brutal tapi puas hati’, namun ramai juga mengecamnya sebagai berbahaya dan keterlaluan. Malah, ada yang menyangka video itu dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) kerana kelihatan terlalu aneh.
Menurut laporan media tempatan, pihak pengurusan telah memanggil kedua-dua pihak terlibat dan mengenakan denda sebanyak 10,000 baht kepada setiap seorang.
Baca: Polis Sedang Kesan Individu Bawa Anjing Ke Restoran Mamak