Saksi keenam inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir iaitu seorang pengawal keselamatan memberitahu yang dia menemukan pelajar Tingkatan Satu itu terlentang di dalam longkang dalam keadaan tidak sedarkan diri dan tengkuknya berdarah pada malam kejadian.
Linah Binti Mansoding @ Jaliha, 65, berkata pada hari kejadian (16 Julai) kira kira-kira jam 2 pagi, dia membuat rondaan di asrama perempuan Blok Rabiatul Adawiyah dan mendapati tiada sebarang insiden luar biasa berlaku.
“Saya kemudian bergerak ke blok asrama bersebelahan, iaitu Blok Sumayyah yang juga asrama perempuan untuk membuat rondaan seterusnya,” katanya.
Katanya ketika berada di asrama Blok Sumayyah sekitar jam 3 pagi, dia dimaklumkan oleh seorang pelajar ada seorang pelajar perempuan pengsan di longkang berhampiran Blok Rabiatul Adawiyah.
Artikel berkaitan: “Saya janji takkan ulangi lagi” – Individu Mohon Maaf Fitnah Fadhlina Sidek
Artikel berkaitan: Dituduh Ada Pertalian & Bersubahat Dengan Pengetua Sekolah Zara Qairina, Fadhlina Lapor Polis
“Saya terus menghubungi Ketua Warden Asrama, Ustaz Azhari berkenaan kejadian itu. Selepas menghubungi Ketua Warden Asrama tersebut, saya mengambil sekeping gambar Zara dalam keadaan terlentang di longkang berkenaan,” katanya.
Tiada CCTV dan gril besi di koridor bangunan asrama
Linah turut mengesahkan bahawa tiada sebarang kamera litar tertutup (CCTV) dipasang dan tiada gril besi di koridor bangunan asrama terbabit.
“Setahu saya, tiada sebarang kamera litar tertutup (CCTV) di pasang di blok asrama Rabiatul Adawiyah. Tiada juga gril (palang besi) dipasang di koridor bangunan asrama tersebut,” katanya.
Tambahnya, ketiadaan sistem rakaman berkenaan menyukarkan pihak sekolah untuk memantau pergerakan pelajar terutama pada waktu malam.
Menurut Linah, ambulans tiba kira-kira jam 4 pagi dan membawa Zara ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan.
Sumber: Berita Harian