5 Warisan Budaya Malaysia Ini Diiktiraf UNESCO, Bukti Keindahan Kepelbagaian Kita

5 hours ago 5

Malaysia memang terkenal dengan keunikan budayanya yang berwarna-warni. Dari makanan sampailah ke seni tari, semuanya ada identiti tersendiri.

Menariknya, sebahagian daripada budaya ini bukan saja jadi kebanggaan kita, tapi sudah pun mendapat pengiktirafan dunia melalui UNESCO.

Kalau nak tahu, pengiktirafan yang diberikan UNESCO ini jatuh di bawah kategori Warisan Budaya Tidak Ketara atau juga dikenali sebagai Intangible Cultural Heritage. Ia merujuk kepada amalan, tradisi, persembahan seni, kemahiran dan juga pengetahuan yang diwarisi turun-temurun dalam sesebuah komuniti.

Secara ringkas, ia bukan benda fizikal macam bangunan atau monumen, tapi lebih kepada identiti budaya yang mencerminkan cara hidup dan jati diri sesebuah masyarakat.

Jadi, jom kita tengok satu per satu warisan budaya Malaysia yang dibanggakan dunia ini!

Mak Yong 

mak yong

Mak Yong ialah satu bentuk teater tradisional masyarakat Melayu yang menggabungkan lakonan, nyanyian, muzik, gerak tari dan juga kostum yang penuh warna. Tradisi ini berasal dari kampung-kampung di Kelantan dan biasanya dipersembahkan sebagai hiburan atau tujuan ritual yang katanya berkait dengan perubatan tradisional.

Asal-usul Mak Yong dipercayai telah wujud sebelum kedatangan Islam lagi, dan pernah dipersembahkan sebagai teater diraja di bawah naungan Kesultanan Kelantan hingga sekitar tahun 1920-an.

Selepas itu, ia terus berkembang di kampung-kampung, tetapi masih mengekalkan unsur halus yang diwarisi dari istana seperti rekaan kostum yang indah.

Persembahan Mak Yong biasanya dimulakan dengan upacara pembukaan, diikuti dengan tarian, muzik, lakonan serta dialog spontan. Kadang-kadang, satu cerita boleh dibawa sehingga beberapa malam berturut-turut, dengan setiap persembahan mengambil masa lebih kurang tiga jam. Pentas tradisionalnya dibuat daripada kayu dan daun palma, dengan penonton duduk di tiga bahagian keliling pentas, manakala bahagian keempat khas untuk kumpulan muzik seperti rehab (alat bertali), gendang dan gong.

Lebih menarik lagi, kebanyakan watak ini dibawakan oleh wanita, dan jalan cerita pula adalah berasaskan kisah rakyat Melayu lama yang dipenuhi dengan watak diraja, dewa-dewi serta badut.

Perkaitan Mak Yong dengan amalan ritual pula adalah di mana bomoh atau pawang akan menggunakan nyanyian dan tarian dalam keadaan separa sedar untuk tujuan penyembuhan.

Namun, tradisi ini kini semakin berkurangan kerana ia memerlukan latihan bertahun-tahun lamanya. Hanya segelintir sahaja generasi muda yang sanggup menimba ilmu ini, menyebabkan Mak Yong semakin terancam dengan kekurangan pelakon berpengalaman serta pementasan yang makin jarang diadakan.

Artikel Berkaitan: Pengiktirafan Berganda untuk Malaysia! Lenggong & Sarawak Delta Kini Berstatus UNESCO Global Geopark – Lobak Merah

Artikel Berkaitan: “Cerminkan kekuatan Malaysia sebagai negara berbilang kaum” – Budaya Sarapan Malaysia Diiktiraf UNESCO – Lobak Merah

Dondang Sayang 

dondang sayang

Dondang Sayang ialah seni tradisional Melayu yang masih diamalkan di Melaka oleh empat komuniti utama iaitu Melayu, Baba Nyonya, Chetti dan Portugis. Persembahan ini menggabungkan muzik seperti biola, gong dan rebana, sambil bernyanyi bersama serta pantun berirama indah.

Sejak zaman Kesultanan Melaka pada abad ke-15, Dondang Sayang sudah dipersembahkan dalam majlis istana. Lama-kelamaan, ia mula tersebar luas dan menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat tempatan.

Mengikut tradisi, persembahan Dondang Sayang akan disampaikan oleh dua penyanyi lelaki dan wanita yang saling berbalas pantun dalam bentuk rangkap empat, diiringi dengan alunan muzik. Biasanya, penyanyi Dondang Sayang ialah individu yang mahir berpantun serta mampu untuk improvise dengan spontan.

Menariknya, seni ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur, pekerjaan, status atau agama. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi juga medium untuk menyampaikan mesej positif serta meluahkan rasa cinta, gembira, duka, sekaligus mengeratkan hubungan dalam komuniti.

Hingga ke hari ini, Dondang Sayang masih diamalkan, terutama ketika kenduri, pesta dan perayaan. Malah, banyak program budaya dianjurkan bagi menarik minat generasi muda untuk terus menghidupkan seni ini.

Silat 

silat

Silat ialah seni mempertahankan diri tradisional yang berasal dari Alam Melayu sejak zaman kerajaan Langkasuka. Ia bukan sekadar teknik berlawan, tapi juga satu latihan fizikal dan rohani yang lengkap, siap dengan pakaian tradisional, muzik iringan serta adatnya tersendiri.

Silat mempunyai pelbagai gaya yang diinspirasikan daripada anatomi manusia, alam semula jadi dan haiwan. Contohnya, Silat Harimau terkenal dengan gerakan berirama yang meniru seni serangan dan pertahanan seekor harimau. Di Malaysia sahaja, ada lebih 150 aliran silat yang kebanyakannya dinamakan sempena unsur alam seperti binatang atau tumbuhan.

Dahulu, silat dipraktikkan oleh para pahlawan sebagai lambang keberanian dan penegak keadilan. Hari ini, silat masih diteruskan oleh guru, pengajar dan pelajar yang akan berlatih secara berkumpulan di kawasan lapang dan biasanya pada waktu malam serta dipimpin oleh seorang mahaguru.

Silat kini dilihat bukan hanya sebagai ilmu mempertahankan diri, malah turut berkembang menjadi seni persembahan serta aktiviti sukan yang bermanfaat untuk kesihatan. Penambahan pusat latihan di seluruh negara menjadikan tradisi ini terus subur sebagai warisan budaya Malaysia.

Songket 

songket

Songket ialah kain tenunan tradisional Malaysia yang dihasilkan oleh wanita di Semenanjung Tanah Melayu dan Sarawak sejak berabad-abad lalu. Nama Songket merujuk kepada teknik tenunan hiasan di mana benang emas atau perak disulam di antara benang asas. Hasilnya, corak benang tambahan itu kelihatan seakan terapung di atas latar kain berwarna, mencipta kesan yang sangat eksklusif.

Tenunan songket dibuat menggunakan kek iaitu alat tenun tradisional berpedal dua yang memerlukan kemahiran tinggi serta masa berbulan-bulan untuk menyiapkan sehelai kain. Teknik ini diwarisi turun-temurun sejak abad-16, dan coraknya mudah dikenali melalui penggunaan bentuk geometri serta elemen alam seperti bunga, burung dan serangga.

Dahulu, songket hanya dipakai oleh golongan diraja dan keluarga mereka sahaja. Namun hari ini, ia sudah menjadi busana tradisional Melayu yang digunakan di seluruh negara, sama ada untuk istiadat diraja, majlis perkahwinan, kelahiran, perayaan mahupun upacara rasmi negara.

Walaupun kerja menenun songket secara tradisi dilakukan oleh wanita, kaum lelaki turut terlibat, terutamanya dalam menghasilkan peralatan menenun. Sampai sekarang, songket terus dianggap sebagai simbol kehalusan seni warisan Malaysia yang penuh seni dan budaya.

Pantun 

pantun

Pantun pula merupakan puisi yang sudah wujud sejak lebih 500 tahun yang lalu. Bentuknya ringkas sahaja tetapi bunyinya amat indah dan biasanya empat baris dengan irama a-b-a-b, serta menjadi medium untuk meluahkan fikiran dan emosi dalam kehidupan seharian.

Pantun boleh disampaikan secara lisan, melalui lagu dan nyanyian, ataupun ditulis. Sebahagian besar pantun menceritakan tentang cinta, sama ada kepada pasangan, keluarga, masyarakat atau alam semula jadi.

Sejak dahulu, pantun sering dilafazkan dalam pelbagai acara seperti majlis perkahwinan, upacara adat dan majlis rasmi. Namun, pantun bukan sekadar untuk hiburan sahaja. Ia juga boleh dijadikan cara sopan untuk menyampaikan teguran, nasihat dan nilai murni sebagai tanda hormat, budi bahasa, kesederhanaan dan kasih sayang.

Malah, pantun pernah digunakan sebagai alat diplomasi untuk menyelesaikan perselisihan secara halus tanpa menyinggung mana-mana pihak.

Hari ini, pantun terus diajar di sekolah, bengkel seni dan diwarisi secara lisan, menjadikannya salah satu simbol warisan budaya Malaysia yang masih segar dan relevan dalam kehidupan moden.

Warisan budaya tidak ketara yang diiktiraf oleh UNESCO ini memang mencerminkan identiti dan jiwa bangsa. Setiap pengiktirafan membawa mesej bahawa seni, amalan dan tradisi yang diwarisi turun temurun ini masih hidup, terus diamalkan dan dihargai di peringkat dunia.

Di dalamnya terkandung nilai kemanusiaan, budi bahasa serta memori yang membentuk siapa kita hari ini. Warisan ini menghubungkan masa lalu dengan masa kini, menjadi panduan untuk melangkah ke hadapan tanpa lupa asal usul kita.

Menjaga warisan budaya tidak ketara bererti menjaga jati diri bangsa. Selagi ia dipelihara dan diteruskan, selagi itulah warisan ini akan kekal segar, relevan dan menjadi jambatan antara generasi, serta bukti keindahan kepelbagaian Malaysia di mata dunia.

Sumber: UNESCO, Siakap Keli, Utusan Malaysia

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Read Entire Article
Panutan Hidup | | | |