Satu lagi berita duka menyelubungi jemaah haji Malaysia apabila seorang jemaah lelaki meninggal dunia di Tanah Suci akibat serangan jantung.
Abdullah Mat, 59, dilaporkan meninggal dunia pada 4.15 pagi di Hospital Jiwar, kira-kira seminit sebelum azah Subuh berkumandang.
Menceritakan detik itu, Ashri Mohamed, 52, merupakan rakan sebiliknya adalah individu terakhir yang berada di sisinya ketika Abdullah rebah semasa menunaikan tawaf di pusingan kelima pada kira-kira 2.30 pagi.
Artikel berkaitan: Rakyat Malaysia Buat Misi Jalan Kaki Ke Mekah Cedera Teruk Dipijak Jemaah Di Masjidilharam
Artikel berkaitan: “Kalau sesat senang nak cam”- Pakai Telekung Ada Bunga Matahari Atas Kepala, Gelagat Jemaah Di Tanah Suci Ini Tarik Perhatian
“Ketika itu kami baru selesai solat dan terus melakukan tawaf. Pada pusingan kelima, arwah mula bergerak perlahan dan saya perasan dia semakin lemah. Saya rapat ke belakangnya dan ketika dia hampir rebah, saya sempat menyambut tubuhnya,” kata Ashri.
Ashri berkata, Abdullah rebah berhampiran tanda lampu hijau (tempat memulakan tawaf) di dalam kawasan tawaf dan seorang individu yang memperkenalkan dirinya sebagai doktor dari India segera membantu sebelum bantuan perubatan tiba kira-kira 10 minit kemudian.
Sementara itu, Sharifah Hasan, 57, memberitahu dia begitu terkejut apabila menerima panggilan daripada pihak hospital mengenai perkhabaran suaminya.
“Saya tergamam, terus menangis dan memeluk rakan-rakan sebilik. Namun waktu itu saya belum tahu pun suami dirawat di hospital mana, cuma diberitahu dia berada di zon kecemasan.”
Sharifah juga mengakui bahawa dia amat bergantung kepada suaminya yang berkhidmat di Jabatan Tanah dan Galian Kota Bharu dalam banyak urusan harian namun perlu tabah ketika menerima perkhabaran duka itu.
“Anak-anak saya cakap ‘Mak kuat, Mak, abah orang yang terpilih. Allah pilih dia pergi di tempat yang baik.’ Mereka pujuk saya supaya reda dan teruskan hidup,” katanya dalam nada sebak.
Tambahnya, Allahyarham merupakan suami yang baik serta bapa penyayang selain suka bersedekah dan gemar membantu orang.
Ini adalah kes kedua membabitkan kematian jemaah haji Malaysia di Tanah Suci selepas Allahyarhamah Norizah Tambonan, 47, yang dilaporkan meninggal dunia Jumaat lalu akibat serangan jantung.
Sumber: Harian Metro, Sinar Harian