had isi sehari subsidi ron95

Bagi mengelakkan timbul isu salah guna kemudahan subsidi bahan api RON95 yang bakal dilaksanakan pada 30 September ini, kerajaan akan memperkenalkan beberapa mekanisme tambahan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, antara mekanisme yang akan dikuatkuasakan ialah menghadkan penggunaan bagi mengelakkan isian berulang kali dalam tempoh sehari.

“Kerajaan akan perkenalkan beberapa mekanisme tambahan di mana kita tidak akan membenarkan mereka yang buat banyak kali penggunaan petrol subsidi dalam sehari, kita akan terangkan mengenainya nanti,” katanya.

Artikel berkaitan: ”Boleh ulang-alik Kodiang 6 kali sebulan!” – Ramai Persoal Kuota RON95 300 Liter Sebulan Tak Cukup, Ini Respon Netizen

Artikel berkaitan: “RON95, RON97 atau RON100?” – Fahami Jenis Minyak Yang Sesuai Untuk Kereta Korang

Menurut beliau, langkah ini bagi memastikan subsidi RON95 benar-benar dinikmati rakyat yang layak dan tidak disalahgunakan pihak lain, termasuk warga asing atau individu yang cuba mengambil kesempatan.

herman pan minyak 1 1

Jelasnya, kerajaan turut mempunyai rekod lengkap penggunaan termasuk jumlah isian petrol yang dibuat oleh individu dalam sehari atau sebulan sekali gus membolehkan pemantauan selepas pelaksanaan dibuat.

Amir Hamzah turut menolak kebimbangan stesen minyak mungkin tidak bersedia apabila subsidi bersasar dilaksanakan hujung bulan ini.

Ujarnya, projek ini sudah lama disiapkan yang mana kerajaan bersama syarikat minyak telah bekerjasama sejak hujung tahun lalu untuk memastikan semua sistem berjalan lancar.

Semalam, kerajaan mengumumkan semua rakyat Malaysia yang layak akan menerima subsidi sehingga 300 liter RON95 sebulan, manakala pemandu e-hailing dan p-hailing boleh memohon kuota tambahan.

Sumber: Kosmo!

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.