Sepasukan pegawai daripada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan ke Sabah dalam masa terdekat bagi merakam keterangan tiga pegawai kanan polis berhubung siasatan awal kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.
Tiga pegawai terbabit terdiri daripada Ketua Polis Daerah berpangkat Superintenden, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah berpangkat Asisten Superintenden (ASP) serta seorang pegawai penyiasat berpangkat Inspektor.
Mereka dipercayai terlibat dalam ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika menjalankan siasatan awal kes berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, JIPS telah membuka Kertas Siasatan Tatatertib (KST) terhadap kesemua pegawai berkenaan.
Sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran SOP, tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai penyiasat dan penyelia yang terlibat. Buat masa ini, ketiga-tiga pegawai kanan tersebut masih menjalankan tugas seperti biasa.
Sebelum ini, siasatan awal Pasukan Petugas Khas Bukit Aman mendapati wujud unsur ketidakpatuhan SOP oleh pegawai penyiasat dalam mengendalikan kes kematian pelajar itu.
Penemuan tersebut diumumkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar, pada satu sidang media baru-baru ini.
Artikel berkaitan: Pindahkan Anak Ke Sekolah Baru Lepas Kes Zara, Ibu Terkilan Murid Tingkatan 1 Kena ‘Aim’ Di Sekolah Baru
Artikel berkaitan: Polis Siasat Akaun TikTok Sebar Maklumat Tidak Sahih Berkaitan Kes Zara Qairina
Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai lalu.
Beliau dimasukkan ke hospital selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, kira-kira jam 4 pagi pada 16 Julai.
Sumber: Sinar Harian