Dua orang remaja perempuan berusia 13 tahun baru-baru ini telah dihadapkan ke mahkamah di Sungai Petani, Kedah kerana didakwa mengurung rakan dalam tandas sebuah sekolah menengah di daerah itu, lapor Harian Metro.
Difahamkan, kejadian tersebut berlaku pada bulan lalu.
Selain itu, kedua-dua pelajar sekolah itu juga turut didakwa atas tuduhan sama-sama menyebabkan kecederaan ke atas mangsa yang dikurung di tandas sekolah itu.
Walau bagaimanapun, setelah pertuduhan itu dibaca kepada mereka berdua di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah.
Jika disabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh didenda sehinga RM2,000 atau dipenjara setahun atau kedua-duanya sekali.
Peguam kedua-dua tertuduh memohon jumlah jaminan yang lebih rendah setelah Timbalan Pendakwa Raya menawarkan jaminan RM4,000 untuk setiap tertuduh dengan alasan kedua-dua tertuduh masih bersekolah.
Artikel Berkaitan: Lagi Kes Buli Di Sekolah, Kaki & Tangan Pelajar Perempuan Diikat Guna Tali Leher
Artikel berkaitan: Pelajar Alami Cedera Dalaman, 12 Penuntut UMT Direman Kes P*kul Bergilir-gilir
Jaminan sebanyak RM2,000 kemudiannya dikenakan oleh mahkamah kepada setiap tertuduh.
Selain itu, kedua-dua tertuduh juga diarahkan untuk tidak mengganggu mangsa sepanjang kes berlangsung.
Kes akan disebut semula pada 23 September depan.
Untuk rekod, bulan lalu, media pernah melaporkan kes seorang pelajar dikurung di dalam tandas sekolah serta tangan dan kaki mangsa diikat. Mulut mangsa pula disumbat dengan saput tangn.
Mangsa kemudiannya berjaya ditemui oleh ibunya yang telah ke kawasan sekolah untuk mencarinya setelah mangsa tidak keluar dari kawasan sekolah untuk pulang dijemput ibunya sedangkan pada ketika itu, waktu persekolahan telah tamat.
Sumber: Harian Metro