Cubaan hampir 100 warga Bangladesh untuk masuk ke Malaysia gagal selepas pihak Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) KLIA mengesan pelbagai helah mereka dalam satu operasi awal pagi semalam.
Dalam operasi yang dijalankan dari jam 1 hingga 7.30 pagi di Balai Ketibaan Antarabangsa KLIA Terminal 1, seramai 181 pelawat asing diperiksa dan disoal siasat.
Hasilnya, 98 orang warganegara Bangladesh diberi Notis Penolakan Masuk (No-To-Land, NTL) selepas didapati tidak mematuhi syarat kemasukan.
“Sebahagian daripada mereka dikesan sebaik sahaja mendarat menerusi penerbangan dari Dhaka pada awal pagi, dipercayai sebagai cubaan untuk mengelak pemeriksaan ketat yang biasanya dilakukan pada waktu siang,” katanya.
Artikel berkaitan: AKPS Halang 21 Warga Asing Dari Masuk Malaysia Atas Pelbagai Kesalahan
Artikel berkaitan: Wanita Sumbat Haiwan Eksotik Dalam Bagasi Untuk Cuba Seludup Melalui KLIA Ditahan

Menurut AKPS, antara alasan penolakan termasuk penggunaan tempahan hotel palsu, ketiadaan tiket penerbangan pulang dan kegagalan membuktikan kemampuan kewangan.
Malah, kesemua mereka dipercayai berniat menyalahgunakan kemudahan kemasukan sebagai pelancong untuk tinggal dan bekerja secara tidak sah di Malaysia.
AKPS menegaskan kawalan pintu masuk negara akan terus diperketat dan operasi pemantauan akan diperkukuh dari semasa ke semasa.
Malah, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bersubahat membawa masuk warga asing secara haram.
“AKPS KLIA akan terus mengesan, menahan dan menghantar pulang pelawat asing yang tidak layak memasuki negara demi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara terpelihara,” katanya.