Seorang warga emas berang dan membakar rumah jagaan hanya kerana tidak dibenarkan keluar bersama teman wanitanya untuk mendapatkan alat bantuan pendengaran di Padang Besar, Perlis.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, siasatan awal pihaknya mendapati pusat jagaan itu menempatkan seramai 20 orang warga emas di mana salah seorang daripada penghuninya dipercayai memulakan kebakaran dalam kejadian jam 8.31 pagi.
Artikel berkaitan: Hutan Seluas 1.2 Hektar Di Kajang Prima Terbakar
Artikel berkaitan: Panik Diserbu SPRM, Suspek Nekad Bakar Wang Tunai RM 1 Juta
“Hasil semakan kamera litar tertutup di pusat jagaan itu mendapati kebakaran dipercayai dimulakan oleh salah seorang penghuni lelaki berusia 81 tahun.
Suspek dipercayai memulakan kebakaran itu dari kawasan almari di dapur pusat jagaan itu yang menyebabkan ia merebak menuju ke dewan utama sehingga membakar sebahagian ruang itu.
Kebakaran mengakibatkan 50 peratus kawasan dewan musnah,” katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendedahkan motif kebakaran itu didapati berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap penjaga pusat jagaan itu.
“Suspek dipercayai tidak berpuas hati dengan penjaga pusat jagaan itu kerana tidak membenarkannya ke Kangar untuk mendapatkan alat bantuan pendengaran bersama teman wanitanya yang juga penghuni pusat berkenaan.
Oleh itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perlis serta forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis sudah dipanggil bagi membantu siasatan. Jumlah kerugian masih disiasat,” katanya lagi.
Difahamkan, suspek sudah ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
Sumber: Harian Metro